Tuesday, December 26, 2006

Mufti Besar boleh elak agama dari porak-peranda

26-12-2006 08:57:36 PM
Oleh SALHAN K. AHMAD

KUALA LUMPUR: Negara memerlukan seorang Mufti Besar (Grand Mufti) untuk menjelaskan isu-isu berkenaan agama Islam dengan berkesan kepada masyarakat umum serta mengelakkan ilmu agama diporak-perandakan mengikut kepentingan pihak tertentu.

Demikian dicadangkan ketua pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas yang melihat wujudnya kepincangan di kalangan pendapat para ilmuan agama dan mufti di negara ini masa kini.

Dengan cara itu, katanya, isu-isu berkenaan agama Islam boleh disuarakan oleh seorang ulamak yang benar-benar arif dan diberi kepercayaan oleh mufti-mufti seluruh negara.

"Dengan adanya seorang mufti besar, isu-isu agama tidak lagi perlu didebatkan secara terbuka di dalam media kerana ia boleh dibincangkan secara tertutup di antara ulamak yang berhak," katanya ketika ditemui mStar Online di pejabatnya hari ini.

Sehubungan itu, katanya, satu seminar akan diadakan oleh institut berkenaan tahun depan untuk mencadangkan kaedah dan peruntukan-peruntukan lain berkenaan perlantikan ke jawatan tersebut.

"Oleh kerana Yang di-Pertuan Agong adalah ketua bagi agama Islam di negara ini, perlantikan Mufti Besar itu juga boleh mengikut giliran negeri di mana Sultannya menjadi Yang di-Pertuan Agong."

Ujarnya lagi, ciri penting yang perlu dipunyai oleh mufti besar adalah seorang yang berilmu, bertanggungjawab dan tidak boleh mempunyai sikap pelampau, sesuai dengan iklim agama di negara ini yang berbilang kaum dan kepercayaan.

Jelasnya, dengan adanya seorang Mufti Besar -- seperti yang diamalkan di Mesir, Australia dan Jordan -- kekeliruan berkenaan isu-isu mengenai agama Islam boleh dielakkan dan agensi penguatkuasaan agama Islam juga akan dapat memainkan peranan yang lebih relevan untuk kemajuan ummah.

Dr Syed Ali berpendapat, kecaman dan teguran yang dikeluarkan pihak tertentu terhadap mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menunjukkan tradisi kelimuan Islam di negara ini sedang cuba dimusnahkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Jelasnya, keadaan ini jika dibiarkan berterusan boleh meruntuhkan tradisi keilmuan, membawa kepada kekeliruan dan kekolotan agama, sehingga mencetuskan keadaan huru-hara.

Jelasnya, masalah lebih besar yang perlu ditangani oleh penguatkuasa jabatan agama Islam pada masa ini adalah korupsi keilmuan.

"Contohnya kalau kita tutup pandangan ulama yang memperkatakan perkara yang benar dan memanggil mereka ekstremis, tetapi pandangan orang yang tidak berilmu pula diberikan perhatian.

"Rasuah hanyalah satu spesis korupsi, tetapi korupsi ilmu ini lebih berbahaya kerana perkara yang benar dijadikan perkara batil dan sebaliknya. Inilah yang menyebabkan ramai orang Melayu malas untuk menuntut Ilmu," katanya.

Beliau juga mempersoalkan hak seorang pegawai jabatan agama untuk meremeh-temehkan pendapat seorang mufti yang dilantik oleh Sultan negerinya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk pandangan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury yang mempertahankan tindakan jabatan itu untuk meneruskan operasi memeriksa bilik hotel untuk mengenalpasti pasangan berkhalwat.

Datuk Jamry dilaporkan berkata operasi itu akan diteruskan kerana khuatir pasangan bukan muhrim tidak lagi takut untuk melakukan maksiat sekiranya pihak berkuasa berhenti memeriksa bilik hotel.

"Masalahnya, orang sudah tidak takut untuk membuat maksiat di tempat-tempat awam seperti di pusat membeli belah atau taman rekreasi, tetapi orang-orang ini tidak pula ditangkap. Apa yang perlu ditumpukan adalah maksiat yang dilakukan secara terang-terangan," kata Dr Syed Ali.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, Ahli Kehormat Utama Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Ahmad Awang dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar sebelum ini juga telah dilaporkan telah menolak pendapat Mohd Asri yang mencadangkan agar pihak berkuasa agama menumpukan pada perkara lebih penting seperti mengekang rasuah daripada mengendap dan mengintip pasangan berkhalwat termasuk di bilik-bilik hotel.

"Saya mungkin berbunyi agak keras jika memperkatakan isu ini, tetapi masalahnya, ulama popular seperti ini suka kepada sensasi. Mereka hanya gemar berkata mengenai perkara-perkara yang mereka tahu orang gemar mendengarnya," kata Dr Syed Ali.

"Walaupun mufti Perlis mengatakan mengenai khalwat dan perlunya ada pengkhususan mengenai masalah-masalah yang nyata, ada juga yang ingin mencerca dan menegur beliau, tetapi mereka tidak memberi peluang kepada beliau untuk menyatakan kebenaran. Saya rasa, ini mungkin tidak adil.

"Tetapi, kenapa kita mesti buang masa untuk pergi buat tangkapan khalwat? Dalam situasi Malaysia yang berbilang kaum dan agama, kita perlu adil kepada semua. Adalah lebih baik bagi orang-orang jabatan Islam dan anggota Rela ini supaya pergi tangkap Along yang banyak melakukan ketidakadilan dan mengeksploitasi orang miskin. Ini yang sepatutnya mereka lakukan dengan usaha bersepadu kerana mereka juga bertangungjawab ke atas ekonomi masyarakat negara ini.," katanya lagi.

Perkara ini, jelas Dr Syed Ali, boleh dicontohi daripada pentadbiran Empayar Uthmaniah yang memberi tangungjawab kepada mufti untuk mengelakkan berlakunya penipuan dalam perdagangan.

Namun, tegasnya perkara seumpama ini tidak diberi perhatian oleh golongan yang mentadbir hal ehwal agama Islam di negara ini kerana mereka tidak berpengetahuan dalam ekonomi, sehingga penentuan bayaran zakat yang pada asasnya bertujuan membantu golongan Islam yang fakir dan miskin juga sudah tidak relevan.

"Kadar bayaran zakat di negara ini hanya sekitar RM4.20 iaitu kira-kira USD1. Zakat ini dibayar supaya seorang fakir boleh makan satu hidangan setiap hari. Jadi, ini bermakna, negara ini juga ada orang yang hidup dengan USD1 sahaja setiap hari. Tidakkah ini memalukan orang Islam?" soalnya.

No comments: