Tue | Dec 26, 06 | 01:17:16 PM
KUALA LUMPUR, 26 Dis (Hrkh) - Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) akan tetap menjadi badan yang memalukan ummah jika ia tetap dengan sikap tidak pedulinya terhadap pembantaian dan pembunuhan umat Islam.
Mengulas tindakan balas dendam Amerika Syarikat terhadap umat Islam Somalia yang kini mencetuskan peperangan, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar berkata, sikap pasif OIC itu bukan sahaja akan menyebabkan seluruh dunia menganggap mereka boleh melakukan apa sahaja terhadap umat Islam, malah akan mengakibatkan lebih banyak keganasan apabila lahir kumpulan-kumpulan bawah tanah yang tidak berpuas hati dengan OIC.
Dalam tindakan yang nyata didalangi oleh Amerika Syarikat, kerajaan Somalia meminta bantuan ketenteraan Habsyah untuk memerangi gerakan Islam negara itu walaupun majoriti rakyat Somalia amat marah dengan campur tangan negara jiran tersebut.
"Walaupun mungkin ada kumpulan bawah tanah di kalangan umat Islam yang didalangi musuh-musuh Islam kewujudan mereka, tetapi terdapat juga kumpulan-kumpulan sedemikian yang lahir kerana rasa tidak puas hati dan marah terhadap sikap pasif badan-badan yang sepatutnya memelihara kepentingan dan keselamatan umat Islam terutama OIC," kata Kamaruddin yang mengutuk serangan yang disifatkannya sebagai tindakan balas dendam Amerika terhadap umat Islam Somalia itu.
Beliau menuntut Malaysia sebagai Pengerusi OIC menghentikan sikap berdiam diri dan memulakan tindakan dengan mengemukakan usul bantahan melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Lebih dari itu, OIC mestilah berani serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan unilateral di peringkat pertubuhan itu sendiri dan menghantar tentera pemerhati negara-negara OIC ke Somalia. OIC jangan berdolak-dalik lagi jika ia masih sensitif dengan maruah umat Islam yang diwakilinya," tegas Ahli Parlimen Tumpat itu.
Jika tidak, katanya, Amerika akhirnya akan mendapat alasan baru untuk menceroboh Somalia sekali lagi.
Awal 1994 lalu, Amerika menanggung malu besar apabila terpaksa mengundurkan majoriti besar tenteranya dari Somalia setelah dikalahkan oleh umat Islam negara itu sehingga akhirnya, pada awal 1995, kesemua tentera Amerika meninggalkan negara yang ketika itu dipanggil negara Mohamed Farrah Aidid.
Dalam pertumpahan darah yang kini berlaku, Habsyah dan kerajaan Somalia dikerahkan oleh Amerika untuk menyerang gerakan Islam negara itu setelah kerajaan Amerika mendakwa, empat pemimpin Al-Qaeda yang dipercayai mendalangi serangan bom di Kedutaan Amerika di Kenya dan Tanzania telahpun menjadi pemimpin militia Islam Somalia.
Timbalan Pengerusi Badan Eksekutif Majlis Mahkamah Islam Somalia (SICC), Abdirahman Janaqow menegaskan pihaknya tidak akan berdiam diri terhadap pencerobohan Habsyah itu.
“Kami akan menewaskan tentera Habsyah di tanah air kami sendiri,” kata beliau selepas jet pejuang Habsyah mengebom kedudukan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Mogadishu dan sebuah lapangan terbang lain di negara itu.
Pengerusi SICC, Sheik Sharif Sheik Ahmed pula menyatakan peperangan antara pihaknya dengan tentera Habsyah akan berpanjangan dan tidak berkesudahan.
Beliau memberitahu pemberita, dalam pertemuan di Emiriah Arab Bersatu sebelum ini, kerajaan Habsyah menuntut pihaknya memutuskan hubungan dengan negara-negara seperti Eritrea, Sudan dan negara-negara lain serta menyerahkan pemberontak Habsyah yang didakwa berada di Somalia.
Beliau mengulangi penegasan bahawa tidak ada anggota Al-Qaeda di Somalia.
No comments:
Post a Comment