Oleh: AZRINA SOBIAN
TAHUN Melawat Malaysia 2007 (TMM2007) bakal tiba tidak lama lagi. Pelbagai usaha memperkenalkan TMM2007 ini telah dijalankan kerajaan Malaysia sejak setahun lalu. Dalam masa yang sama pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang dirasakan perlu untuk menambah nilai Malaysia sebagai sebuah negara pelancongan yang hebat telah turut dibangunkan.
Usaha ini dikira wajar kerana industri pelancongan merupakan industri kedua terpenting negara. Dengan kata lain, industri ini telah menghasilkan pulangan pendapatan kedua terbesar negara. Berdasarkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), dilaporkan bahawa industri pelancongan telah berjaya menarik kedatangan pelancong sehingga 31 billion pada tahun 2005. Oleh itu, sektor ini telah menyumbang pulangan kewangan sebanyak RM18.1 bilion pada tahun yang sama.
Matlamat pelancongan negara pastinya untuk memperkenalkan negara Malaysia sebagai satu destinasi pelancongan yang indah, aman, damai, maju dan tidak akan dilupakan oleh sesiapa yang mengunjunginya. Ini sesuatu yang tidak mustahil kerana Malaysia sememangnya mempunyai pelbagai keistimewaan yang mampu menarik dan menjadi ingatan para pengunjung. Keindahan alam semulajadi, keunikan sejarahnya, pembangunan yang pesat, kepelbagaian adat resam dan budaya serta kemesraan rakyatnya adalah antara ciri istimewa negara ini.
‘Sambil menyelam minum air’, sebenarnya usaha memperkenalkan Malaysia sebagai satu tempat pelancongan yang menarik secara tidak langsung akan memperkenalkan agama Islam itu sendiri. Dalam hal ini, bukanlah tujuan memperkenalkan Islam itu sebagai satu usaha menukar agama pelancong yang datang, tetapi lebih kepada membuang salah tanggapan masyarakat dunia terhadap agama Islam itu sendiri.
Seperti mana yang disedari banyak pihak, agama Islam adalah satu-satunya agama dalam dunia masa kini yang teruk menerima kecaman dan hentaman. Malahan, ramai penduduk Islam dipelbagai negara ditindas hanya kerana mereka beragama Islam. Tindakan penindasan sebegini menunjukkan seolah-olah agama dan umat Islam itu satu ancaman yang bakal merosakkan dunia serta isinya. Hal ini bertentangan sama-sekali dengan asas agama Islam itu sendiri iaitu satu agama yang menganjurkan perdamaian, persahabatan dan kemakmuran sejagat.
Berbalik kepada usaha memperbetulkan pandangan serong masyarakat dunia terhadap Islam melalui pelancongan yang telah disebutkan di atas, sebenarnya usaha ini tidaklah bermakna kita perlu merombak apa yang telah ada atau kita perlu membina rancangan yang baru. Apa yang telah ada dalam negara ini sudah memadai untuk menunjukkan betapa agama Islam tidak perlu ditakuti.
Kemajuan dan pembangunan yang dicapai negara sejak mula mencapai kemerdekaan adalah satu perkara yang sangat kita banggakan. Kemajuan dalam pelbagai bidang ekonomi, sosial dan siasah secara tidak langsung menunjukkan kepada pengunjung yang datang ke negara ini bahawa agama Islam itu adalah agama kemajuan. Islam bukan antipembangunan. Islam adalah satu agama yang menuntut agar umatnya membangunkan diri dan secara tidak langsung, negara. Oleh itu, pandangan yang mengaitkan agama Islam dengan kemiskinan dan kemunduran tidak benar sama sekali.
Kepelbagaian kaum, agama dan budaya merupakan satu keunikan dan kekuatan bagi negara ini. Perkara ini juga merupakan satu tarikan pelancongan yang mengusik jiwa pengunjung untuk melihat dan mempelajarinya. Kemakmuran seperti ini jarang sekali berlaku di negara-negara lain kerana biasanya asal ada perbezaan maka akan wujudlah pertentangan atau pertelingkahan. Kemampuan Malaysia dalam mengadun unsur kepelbagaian telah lama diakui dan dipuji. Ini juga merupakan satu perkara yang dituntut dalam Islam. Islam adalah satu agama yang menganjurkan umatnya agar saling berbaik-baik sesama manusia tidak kira agama, keturunan, bangsa dan sebagainya.
Tarikan lain bagi Malaysia adalah keindahan alam semula jadinya. Malaysia amat bertuah kerana beberapa tempat di negara ini seperti Gua Mulu dan Taman Kinabalu telah tersenarai di dalam Senarai Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Dalam masa yang sama, Pelan Ekopelancongan Kebangsaan turut menyenaraikan 48 kawasan pelancongan utama negara. Penyenaraian kawasan-kawasan ini, selain memberi nilai tambah kepada kegiatan pelancongan negara, ia turut membuktikan iltizam kerajaan untuk memelihara kawasan tersebut. Pemeliharaan sumber semula jadi negara ini bukan semata-mata untuk mengaut keuntungan tetapi lebih daripada itu, ia merupakan satu tanggungjawab kita sebagai manusia untuk menjaga alam yang telah dikurniakan Allah s.w.t. Kesedaran ini sewajarnya diuar-uarkan kepada semua orang termasuklah pengunjung dari luar.
Akhir sekali, kebebasan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia terutamanya kaum wanita untuk belajar, bekerja dan menikmati mutu hidup yang sama dengan kaum Adam memberikan satu gambaran yang baik bagi pengunjung yang datang dari luar. Selama ini, bagi mereka yang mendapat maklumat yang salah berkaitan Islam, mungkin menyangkakan bahawa wanita Islam di Malaysia sama seperti wanita-wanita Islam di sesetengah negara Islam yang lain. Wanita-wanita Islam itu terbelenggu di negara sendiri. Dengan kata lain, mereka tidak dibenarkan mencari ilmu, tidak boleh bekerja malah ada yang tidak boleh mendapatkan lesen memandu. Halangan-halangan seperti ini sama sekali tidak wujud dalam agama Islam. Peluang-peluang yang diberikan dan dinikmati oleh wanita Islam Malaysia ini sedikit sebanyak mengikis tanggapan salah bahawa agama Islam menindas golongan wanita.
Apa yang cuba disampaikan melalui TMM2007 selain untuk mencapai keuntungan kebendaan kepada negara, ia juga sebenarnya boleh menjadi batu loncatan untuk kita memperbetulkan tanggapan salah orang luar terhadap agama Islam. Bagaimanapun, usaha ini tidak akan berjaya jika orang awam terutamanya orang Islam tidak bersikap sewajarnya pada diri sendiri mahupun orang di sekelilingnya. Kadangkala, tindakan orang Islam sendiri yang sebenarnya memberi gambaran buruk terhadap agama Islam itu sendiri, misalnya tidak menjaga kebersihan, bercakap kasar, tidak menghormati orang lain dan sebagainya. Oleh itu, jika kita benar-benar mahu memberikan gambaran yang betul lagi tepat tentang Islam melalui pelancongan ini, setiap individu terutamanya orang Islam hendaklah tahu akan peranannya. Pengetahuan ini seterusnya akan digambarkan melalui tingkah laku seseorang. Kejayaan TMM2007 tidak terletak kepada keindahan sesuatu tempat semata-mata. Perlu diingat bahawa sikap ‘tuan rumah’ juga akan memberikan gambaran baik atau buruk negara kita ini.
No comments:
Post a Comment