Monday, December 18, 2006

Ulama, janganlah cepat melenting

18-12-2006 02:53:36 PM
Oleh: SA'ODAH ELIAS

Kasihan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Kerana keberaniannya mempersoalkan isu khalwat dan pendekatan penguatkuasaan terhadap kesalahan itu yang padanya lebih hendak membawa aib kepada yang terlibat, dia kini sedang dikritik secara langsung atau tidak langsung oleh banyak pihak, termasuk rakan-rakan mufti sendiri.

Tetapi nampaknya, mufti termuda dari negeri terkecil ini bukan hanya pandai bercakap, tetapi tidak kurang juga keupayaannya berdebat.

Jika telah banyak berlaku sebelum ini pihak-pihak tertentu dengan cepat mengundur ke belakang apabila kenyataan mereka yang dianggap sesetengah pihak sebagai terlalu progresif disanggah banyak pihak, Mohd Asri bertegas berpegang pada pendiriannya.

Malah beliau tidak segan dan silu untuk mempertahankan kenyataanya dengan berhujah melalui akhbar walaupun pendiriannya ditentang bukan calang orang, tetapi termasuk oleh mufti paling vokal di negara ini, Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam, Datuk Mustafa Abdul Rahman dan ahli kehormat utama Persatuan Ulama, Ahmad Awang.

Episod terbaru ini patut dilihat oleh umat Islam di negara ini sebagai satu perkembangan positif. Mungkin budaya inilah yang akan membuka lembaran baru dalam mengetengahkan pandangan berbeza mengenai pendekatan terhadap undang-undang syariah di negara ini secara lebih terbuka.

Oleh kerana kehidupan umat Islam di negara ini tertakluk di bawah undang-undang syariah melalui pelbagai enakmen agama Islam di setiap negari maka adalah wajar pendekatan dalam menguatkuasakan undang-undang itu dibuka untuk perbincangan umum bagi memastikan keadilannya.

Jika kenyataan Mohd Asri diteliti, beliau tidak pernah mengatakan penentangannya terhadap perinsip amar makruf nahi mungkar (menegakkan kebaikan dan menentang kemungkaran), tetapi yang beliau persoalkan hanyalah pendekatan ke arah menegakkan perinsip itu sendiri.

Tetapi, seperti yang kerap berlaku, apabila sesiapa sahaja berani mempersoalkan isu seperti itu, pasti dia akan kena “bantai keliling” oleh golongan yang merasakan diri mereka lebih ‘alim, dan lebih buruk lagi, dalam perbincangan-perbincangan di laman blog, beliau secara terang-terangan dituduh anti-Islam.

Lebih menghairankan lagi, hujah yang diguna untuk mengkritik Mohd Asri itu sendiri meleset -- Mohd Asri dituduh menggalakkan maksiat.

Atas alasan itu, beliau dicap sebagai seorang yang berbahaya kepada umat kerana telah cuba menyesatkan orang Islam, walhal, apa yang beliau tentang adalah pendekatan penguatkuasaan khalwat itu yang lebih kepada mahu memalukan pasangan di samping pendekataan yang melanggar perinsip peradaban Islam itu sendiri, iaitu mengintip, mengendap dan menceroboh.

Benarkah Islam menggalakkan kegiatan seperti yang ditentang oleh Mohd Asri itu? Di manakah dalam Islam di sebut bahawa agama menggalakkan umatnya menghebahkan aib orang lain, mengendap dan mengintip sesama sendiri dan lebih buruk lagi menceroboh rumah orang lain?

Tidakkah Islam itu sendiri mengiktiraf rumah seseorang itu sebagai antara tempat yang paling peribadi dan tidak boleh diceroboh sesuka hati?

Di manakah letaknya maruah orang Islam jika kegiatan mengendap dan mengintip digalakkan semata-mata dengan alasan untuk mengekang kegiatan maksiat seperti khalwat. Lebih buruk lagi, apabila kegiatan itu dibuat dengan kebenaran pihak berkuasa agama.

Dalam beberapa kes seperti yang pernah berlaku sebelum ini, pihak penguatkuasa agama membawa pula bersama mereka gerombolan jurugambar dan wartawan ketika menjalankan kegiatan mereka, lebih-lebih lagi jika kes membabitkan orang yang ada nama.

Apakah motif ini dilakukan jika bukan untuk mengaibkan orang yang terlibat?

Keesokan harinya, laporan terperinci akan menghiasi dada akhbar - si polan bin si polan ditahan berkhalwat dengan pasangannya si polan binti si polan, ketika ditahan suspek menyorok dalam almari/di bawah katil/ hanya berkemban/hanya memakai singlet dan apa-apa butiran yang boleh menggalak imaginasi pembaca.

Apakah perluanya semua ini? Adakah memalukan orang satu asas utama prinsip amar makruf nahi mungkar yang mahu ditegakkan di negara ini?

Mungkin sudah sampai masanya umat Islam berfikiran lebih terbuka. Terbuka tidak bermakna bersikap liberal, tetapi terbuka dalam mendengar pandangan berbeza dan jika tidak bersetuju dengan pandangan itu, berhujah dengan cara yang rasional serta bukti kukuh.

Mengeluarkan kenyataan menghina dan terus menghukum orang yang berani mempersoalkan sesuatu yang bukan hukum Allah, tetapi hanya pendekatan dan amalan biasa adalah perbuatan orang yang rendah ketamadunannya, dan ia bertentangan dengan prinsip Islam yang menggalakkan perbincangan.

Jika mahu dihormati, orang Islam mesti tidak terlalu defensif apabila mana-mana perbuatan, pendekatan atau kebiasaan mereka dikritik. Malah jika ada pihak mengkritik agama Islam itu sendiri dan hukumnya, berhujahlah dengan sopan dan jelas agar orang lain menghormati kita. Ini adalah satu prinsip penting dalam kehidupan dalam masyarakat global.

Dalam pada itu, janganlah kerana kritikan Mohd Asri itu terkena batang hidung pihak tertentu, maka saranannnya itu mesti terus disanggah bagaikan tidak berguna langsung.

Unjurannya agar daripada terlalu membazirkan waktu dan tenaga menjejaki pasangan berkhalwat pihak berkuasa agama sama-sama memberi penekanan kepada masalah lebih besar yang dihadapi umat Islam seperti masalah rasuah, jenayah terhadap manusia dan masalah penagihan dadah yang patut dipertimbangkan dengan serius.

No comments: