Wednesday, December 20, 2006

Pemimpin Umno terbabit teroka tanah secara haram

Harakahdaily
Wed | Dec 20, 06 | 10:18:39 AM

KOTA BHARU, 20 Dis (Hrkh) – Kerajaan negeri mengenal pasti tanah seluas 2,400 ekar di Kuala Krai telah diteroka secara haram oleh pihak tertentu sejak sekian lama.

Manakala tanah seluas 58 ekar lagi juga di jajahan yang sama dikenal pasti diteroka secara haram oleh seorang pemimpin Umno.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato’ Husam Musa berkata, maklumat mengenai perkara itu terbongkar selepas diselidiki di kawasan terbabit.

Oleh itu katanya, kerajaan negeri memerlukan maklumat daripada wakil-wakil rakyat dan penghulu untuk memastikan tiada penerokaan tanah secara haram dilakukan.

“Sekiranya tanah-tanah yang diteroka secara haram dapat diselesaikan secepat mungkin, ia secara tidak langsung akan dapat meningkatkan hasil negeri,” katanya pada satu program di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, hasil kerjasama semua pihak tahun ini kerajaan negeri berjaya meningkatkan jumlah hasil sebanyak 25 peratus.

Antara agensi Pusat yang telah menjelaskan tunggakan hasil kepada kerajaan negeri setakat ini iaitu Felda. Difahamkan sebanyak RM80 juta sudah dijelaskan tunggakan hasil bagi ladang seluas 68,000 ekar yang diusahakan sejak 20 tahun lalu.

Manakala tunggakan hasil bagi agensi-agensi pembangunan tanah lain termasuk Kesedar dan Felcra masih di peringkat perundingan.

Husam juga berkata, kerajaan negeri menjangka dapat meningkatkan jumlah hasil melalui peningkatan kadar cukai tanah bagi ladang-ladang komersial yang mempunyai keluasan melebihi 40 hektar iaitu RM100 seekar mulai tahun depan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob berkata, jumlah Bajet Kelantan 2007 meningkat lebih RM100 juta berbanding belanjawan tahun ini.

“Ini menggambarkan kesungguhan kerajaan negeri untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui pelbagai program yang dirancang,” katanya.

Program pembangunan insan yang dirancang tahun depan termasuk Dana Belia Niaga diperuntukan sebanyak RM1 juta, Dana Teroka Multimedia (RM1 juta), Dana Siswazah Tani (RM750,000), projek khas siswazah (RM1 juta), projek biotek (RM500,000) dan pembangunan infrastruktur usahawan (RM500,000).

Bagi program kebajikan pula disedia peruntukan untuk orang kurang upaya sebanyak RM1 juta, bantuan pesakit kronik (RM1 juta), bantuan armalah (RM2 juta) dan bantuan anak yatim (RM2 juta).

Ahmad berkata, banyak program baru dirancang bagi meningkatkan lagi pembangunan insan kepada golongan rakyat yang kurang bernasib baik.

Manakala anggaran hasil pula berlaku peningkatan lebih RM90 juta berbanding belanjawan tahun ini.

Husam pula memberitahu hutang tertunggak Kelantan kepada kerajaan Persekutuan adalah kedua terendah selepas Sarawak iaitu sebanyak RM1.83 juta.

“Bagi tahun 2005 berbanding 2004, ada empat negeri sahaja di Malaysia yang telah berjaya mengurangkan jumlah tunggakan kutipan hasil negeri iaitu Kelantan sebanyak 31 peratus, Sabah 11.5 peratus, Pahang 8.02 peratus dan Perak 3.39 peratus.

Menurutnya juga kerajaan negeri akan mewujudkan Pusat Khidmat Islam Negeri bagi menempatkan belia-belia yang terbabit dengan dadah untuk diberi rawatan menggunakan kaedah Islam.

Katanya, pusat itu akan diurus Akademi Keluarga Bahagia (AKB).

Selain itu AKB akan membeli lima kereta jenazah untuk diagih kepada pusat khidmat Dun tertentu tahun depan.

No comments: