Oleh: SAIFULIZAM MOHAMAD
KUALA LUMPUR 24 Dis. – Langkah Dewan Pemuda Pas memulakan gerakan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang ketika banjir melanda beberapa negeri jelas memperlihatkan sikap tidak sensitif terhadap penderitaan rakyat.
Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, dalam keadaan rakyat yang kini terpaksa berhadapan dengan bencana itu, Pas seharusnya segera menghulurkan bantuan dan bukan memberi keutamaan kepada pilihan raya.
Menurutnya, rakyat khususnya mangsa banjir seperti di Johor, Melaka dan Pahang amat memerlukan bantuan daripada semua pihak sama ada parti politik, korporat, individu mahu pun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
‘‘Inilah Pas, mereka berpolitik tidak kira masa dan tempat. Bagi kita (UMNO), ini bukannya masa paling sesuai untuk mereka berbuat demikian memandangkan negara sedang berhadapan dengan masalah banjir.
‘‘Apa yang Pas lakukan ini merupakan bukti yang parti itu tidak sensitif dengan masalah rakyat. Mereka tidak ambil peduli, apa yang mereka tahu hanya menyalahkan kerajaan dan berpolitik sahaja,’’ katanya kepada Utusan Malaysia hari ini
Beliau mengulas tindakan Dewan Pemuda Pas yang mula menggerakkan jenteranya di seluruh negara melalui program Himpunan 15,000 ahlinya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Pada perhimpunan yang diadakan di Padang Perdana, Kota Bharu semalam itu, ketuanya, Salahuddin Ayub mengingatkan ahli-ahli pergerakan itu supaya bersiap sedia dengan ketibaan tahun 2007 yang dianggapnya sebagai tahun pilihan raya.
Muhammad berkata, berbanding Pas, sayap-sayap utama UMNO telah digerakkan untuk membantu mangsa banjir di negeri-negeri yang terlibat dengan bencana itu.
‘‘Pemuda UMNO, Puteri dan Briged Putra UMNO telah menjelajah ke negeri-negeri yang dilanda banjir. Mereka ke sana untuk menghulurkan bantuan, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban mangsa terbabit,’’ katanya.
Nada serupa turut disuarakan oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan Pas terlalu ghairah berpolitik sehingga lupa terdapat sekumpulan rakyat yang kini berada dalam kesusahan ekoran banjir.
Katanya, dalam isu tersebut sudah tentu rakyat akan menilai dan kemudian menentukan parti yang mana lebih prihatin terhadap masalah rakyat.
‘‘Terpulanglah kepada Pas apa yang mereka mahu lakukan dan dalam soal ini, kita serahkan kepada rakyat membuat penilaian.
‘‘Bagi UMNO, kita tidak akan berhenti setakat memberi bantuan ketika banjir sahaja.
‘‘Malah selepas air surut pun, kita masih mempunyai beberapa kumpulan daripada pihak Pemuda UMNO yang akan membantu meringankan penderitaan mangsa banjir,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment