Wednesday, December 27, 2006

Wakil rakyat Batu Talam meninggal dunia

27-12-2006 09:24:05 PM

KUANTAN: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Batu Talam Datuk Tengku Paris Tengku Razlan meninggal dunia pada pukul 6.15 petang akibat barah usus ketika dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang, Kelantan.

Isteri allahyarham, Datin Raja Nur Aziah Raja Yunan, 60, berkata sebelum itu allahyarham Tengku Paris, 66 mahu dibawa pulang ke rumahnya selepas mendapat rawatan di Hospital Pakar Kuala Terengganu (HPKT) dengan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Bagaimanapun penerbangan dari HPKT ke kampung halamannya di Kampung Pintu Padang, Raub pada pukul 4 petang tadi tertangguh selama tiga jam akibat cuaca buruk.

Selepas berjaya berlepas dari Kuala Terengganu, penerbangan itu tidak dapat diteruskan akibat cuaca kurang baik dan terpaksa mendarat di Hospital Gua Musang.

"Dalam perjalanan itulah suami saya menghembuskan nafasnya yang terakhir iaitu kira-kira pukul 6.15 petang tadi," katanya ketika dihubungi Bernama di Hospital Gua Musang.

Menurutnya beliau dan anak sulungnya Tengku Saiful Bahari, 39, berada di sisi allahyarham di dalam helikopter tersebut.

Raja Nur Aziah berkata, allahyarham mulai nazak petang semalam setelah dimasukkan ke hospital itu sejak Khamis lepas.

"Semalam, arwah memegang tangan saya dan dia mahu memperkatakan sesuatu tetapi tiada kata-kata yang mampu diluahkannya kerana amat nazak," katanya.

"Mungkin dia nak beritahu saya supaya membawanya pulang ke Raub dan berhasrat meninggal di sana jadi selepas berbincang dengan anak-anak, kami mengambil keputusan membawanya pulang hari ini," katanya.

Raja Nur Aziah berkata beliau masih menunggu kenderaan jenazah bagi membawa pulang arwah suaminya ke Raub berikutan perjalanan menggunakan helikopter tidak dapat digunakan akibat cuaca buruk.

Beliau berkata, allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hulu Gali, Raub esok.

Allahyarham dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi menjalani rawatan penyakit kanser usus yang semakin teruk sejak 16 Dis lepas dan dibenarkan keluar lima hari kemudian, sebelum mendapatkan rawatan lanjut di HPKT.

Tengku Paris mewakili Barisan Nasional sebagai Adun kawasan Batu Talam selama dua penggal mulai 1999 dan pada pilihan raya umum 2004, beliau menewaskan calon PAS Dr Muhammad Nilam Abdul Manap dengan kelebihan 2,761 undi.

Allahyarham meninggalkan enam orang anak, tiga lelaki dan tiga perempuan iaitu Tengku Saiful Bahari, Tengku Shahrizan, 36, Tengku Hairul Niza, 33, Tengku Nazatul Shima, 30, dan pasangan kembar, Tengku Ahmad Farid dan Tengku Aziati, 27.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub Supt Ahmad Fazillah Mohammad berkata pihaknya sedang berusaha bagi membawa jenazah ke Raub malam ini. BERNAMA


No comments: