Namun Sampit yang terletak di pinggir Sungai Mentaya cukup terkenal kira-kira lapan atau 10 tahun dulu. Bukan kerana banyak kayu balak, orang utan atau diselulubungi jerebu pekat di musim kemarau.
Perkelahian antara etnik Dayak, penduduk pribumi dengan orang pendatang dari Madura yang menelan ribuan nyawa, membuat pekan itu terkenal.
Mungkin sebahagian kita masih ingat peristiwa pembunuhan menyayat ke atas wanita, kanak-kanak dan orang tua. Kepala manusia dipenggal, harta peniaga dirampas dan rumah dibakar.
Ramai pendatang Madura yang datang berniaga berpuluh tahun dulu pulang selepas peristiwa tersebut.
Bagaimanapun pekan yang menyeramkan dan sepi lebih 10 tahun lalu kini jauh telah berubah. Ada lapangan terbang untuk penerbangan ke Jakarta mahupun Surabaya selain kapal penumpang dan barang yang mengambil masa sehari semalam untuk tiba di Surabaya mahu pun Tanjung Periuk di Jakarta.
Namun ramai yang memilih untuk datang dengan kenderaan dari Palangkaraya (ibu kota provinsi Kalimantan Tengah) walaupun jalannya ke Sampit rosak dan sempit.
Kini ramai pendatang Jawa berhijrah selepas peristiwa berdarah pada 1999 hingga 2001 untuk bekerja di ladang sawit dan berniaga.
Penyebab utama yang menjadi majunya kota itu ialah pembukaan ladang-ladang sawit oleh pelabur luar termasuk syarikat Malaysia di daerah Kotawaringin dan Seruyan.
Sudah ada hotel-hotel bertaraf dua bintang untuk ekspatriat menginap. Bagaiamanapun Sampit bukanlah kota yang hidup kerana hiburan malam seperti Jakarta dan Surabaya.
Cuma ada karaoke di satu dua hotel yang diserikan kehadiran wanita cantik, kebanyakan janda yang bercerai muda dari Banjarmasin dan Pulau Jawa.
Menurut cerita seorang tukang beca, ada juga wanita yang malam hari 'bersantai' dekat sebuah taman rekreasi mencari pasangan.
"Sepuluh dua puluh tahun dulu, kota ini tak banyak mobil pak," cerita seorang pendatang yang menjadi pemandu.
Sebahagian peniaga terutama gerai makan malam di sepanjang jalan berdekatan pasar Beluaran sentiasa ramai untuk menikmati udang galah, burung puyuh, ikan sungai seperti patin dan baung dan sup buntut selain makanan laut.
Gadis-gadis pelayan gerai menyambut pelanggan dengan senyuman manis walaupun waktu sudah pukul 3 pagi. Peniaga gerai makan kebanyakan pendatang dari Jawa Timur turut menumpang mencari rezeki di daerah yang mempunyai ramai penduduk Dayak itu.
Pasar Mentaya yang terletak berdekatan pelabuhan Sampit sentiasa riuh rendah pada waktu pagi. Udang galah dan ikan air tawar sama ada yang diternak dan masih banyak di Sungai Mentaya.
"Dulu udang galah lima hingga 10 ribu rupiah tapi sekarang meningkat 50 hingga 70 ribu rupiah (RM28)," kata seorang penduduk.
Udang galah segar dan pelayan gerai yang manis bagaimanapun menghilang rasa letih selepas menempuh perjalanan lebih lima jam dari Palangkangraya ke Sampit.
Jika sudah berada di Sampit, boleh juga menjenguk orang utan yang terbesar Pulau Borneo di Taman Negara Tanjung Puting.
- MingguaN
No comments:
Post a Comment