Tuesday, June 24, 2008

Pasca-PRU Ke-12: Laluan terbuka Pak Lah tunai agenda pembaharuan

24-06-2008 03:49:56 PM
Oleh G. MANIMARAN

ABDULLAH Ahmad Badawi ketika tiba di bangunan Parlimen untuk mengambil bahagian dalam sidang Dewan Rakyat semalam. Usul undi tidak percaya yang disebut-sebutkan tidak 'muncul' sebaliknya yang diluluskan hanya usul kenaikan harga petroleum dan barangan.

MINGGU lalu genap 100 hari selepas pilihan raya umum ke-12. Dalam empat bulan lagi akan genap lima tahun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melangkah ke Seri Perdana.

Selepas lebih 1,700 hari memimpin negara, semalam Abdullah melepasi 'halangan besar' di Parlimen selaku Perdana Menteri. Ia bukan satu masalah bagi beliau. Tetapi cakap-cakap secara terbuka daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri - Parti Maju Sabah (SAPP) yang mahu menggerakkan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Abdullah.

Pun begitu usul sedemikian tidak dibawa sebagaimana dihebohkan. Malah, wakil SAPP sendiri tidak hadir di Dewan Rakyat semalam apabila usul lain yang berkaitan dengan kenaikan harga petroleum dan barangan dibahas dan diluluskan.

Menurut Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, usul yang diluluskan semalam merupakan sesuatu yang sangat penting dan boleh dianggap sebagai satu undi percaya terhadap kerajaan dan Perdana Menteri.

"Ini membuktikan BN masih utuh dan kuat sehingga pilihan raya akan datang," kata beliau dipetik Bernama.

Abdullah makin memperkukuhkan kedudukannya ketika ramai mempersoal dan was-was dengan keupayaan beliau untuk kekal sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri. Ini sebahagian pandangan beberapa pemerhati politik yang dihubungi mStar Online. Ini diperkukuhkan dengan kenyataan Abdullah minggu lalu bahawa sudah ada kata sepakat dengan Timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak berhubung isu peralihan kuasa.

Justeru, episod soal tidak percaya akan berakhir di sini?

Parti-parti komponen BN pula berharap pendirian yang tidak sealiran dengan pucuk kepimpinan juga akan berakhir dengan keputusan Dewan Rakyat yang telah meluluskan usul berkaitan kenaikan harga petroleum dan barangan dengan sokongan 127 undi semalam.

Sebenarnya 100 hari pertama pascapilihan raya umum ke-12 penuh ranjau bagi Abdullah - desakan dan tekanan diterima dari pelbagai penjuru hampir setiap hari, didengar sejak keputusan pengundian 8 Mac lalu - meminta beliau berundur daripada jawatan Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Antara lain yang bersuara lantang ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad - orang yang membuka laluan untuk menggantikannya pada Oktober 2003. Sebahagian ahli dan pemimpin Umno juga berpandangan sedemikian. Tidak kurang juga pemimpin parti komponen BN.

Kepimpinan Abdullah yang lemah dan yang 'gemar' berkomporomi dan bertolak ansur dalam banyak isu dikatakan sebagai punca kepada kekalahan BN dalam pilihan raya umum ke-12. Abdullah dikatakan sudah hilang genggam kepimpinan sebaik pilihan raya umum 2004 berlalu.

Meskipun Abdullah mempunyai kelemahan dan kekurangan kerana tidak memperlihatkan karisma kepimpinan yang tegas sebagaimana pernah ditonjolkan Dr. Mahathir selama 22 tahun memimpin negara, dari satu segi ada juga sekumpulan rakyat negara ini menyambut baik kepimpinan Abdullah yang terbuka dan bertolak ansur.

Mereka berpandangan bahawa Abdullah cuba memenuhi kehendak dan tuntutan banyak pihak - dalam Umno dan BN serta pihak luar parti sehingga beliau dilihat tidak tegas. Ini diakui oleh Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin ketika ditemui mStar Online.

Tetapi sejauh mana sikap terbuka beliau yang sedemikian memakan dirinya? Ataupun beliau telah digunakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan di sekelilingnya sehingga dilihat sebagai pemimpin yang lemah dan tidak boleh melaksanakan apa yang dijanjikan dan diperkatakan.

Di sebalik kelemahan itu, ada yang menganggap Abdullah telah gagal merealisasikan banyak janji yang diketengahkan dalam manifesto pilihan raya umum 2004. Ini juga dikatakan sebagai punca kemerosotan prestasi BN kal ini.

Banyak pihak telah mengkritik dan mengecam beliau. Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Zaid Ibrahim ketika meluahkan pendiriannya bahawa sesiapa yang membela dasar kerajaan dan Perdana Menteri tidak perlu takut akan diambil tindakan menegaskan: "Mereka yang mengkritik dan menghentam Pak Lah ni sebenarnya dah lama, empat tahun saya ingat. Jadi kalau ada orang yang nak membela Pak Lah sekali-sekala pun takkanlah nak ambil tindakan."

Jelas Zaid, Umno perlu menyokong Abdullah dan wajar memahami terlebih dahulu perubahan yang ingin dilakukan sebelum mengkritik.

"Perdana Menteri ingin melakukan perubahan untuk memperbaiki kelemahan dalam sistem perundangan dan kehakiman dalam negara kita.

"Kita perlu memberi sokongan dan perlu faham dulu sebelum mengkritik dan saya percaya perubahan ini baik untuk negara ini dan sangat diperlukan kerana kita perlu akur kepada kehendak rakyat," katanya. Malah, Zaid juga menyifatkan individu yang menentang perubahan dan menentang Perdana Menteri adalah individu yang berpemikiran cara lama dan mengamalkan budaya politik lama sehingga tidak dapat menerima perubahan yang ingin dilakukan.

Bekas Pengarah Eksekutif Yayasan Strategik Sosial (YSS), Datuk Dr. Denison Jayasooria berpendapat kesilapan sejak empat tahun lalu bukan kerana sikap keterbukaan Abdullah selaku Perdana Menteri.

Sebaliknya yang menjadi isu bukan dasar keterbukaan Abdullah tetapi apa yang diharap dan direncanakan beliau tidak dapat disampaikan kepada rakyat, kata pemerhati politik itu. Abdullah tidak mendapat sokongan penuh yang diharapkanbeliau daripada semua pihak. Ini masalahnya!

"Ini masalah delivery system," katanya ketika dihubungi.

Justeru, selepas memperoleh mandat dalam pilihan raya umum 2008, BN dan parti-parti komponen perlu menterjemahkan dasar keterbukaan dalam bentuk pelaksanaan agar rakyat benar-benar merasai hasilnya.

"Ini cabaran besar kepada Abdullah dan BN," tambah beliau.

Ketika berucap pada Sidang Media Asia 2008 di Kuala Lumpur dua minggu lalu, Abdullah juga mencadangkan agar diperkenalkan dasar yang boleh memantapkan penggunaan media memandangkan teknologi komunikasi baru mampu menjadi alat untuk tadbir urus yang baik.

Ia antara pembaharuan yang ingin dibawa Abdullah pada penggal kedua mandat pilihan raya umum. Selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu, Kementerian Penerangan juga menunjukkan sikap mesra dengan pengamal media khususnya pengendali-pengendali blog. Di satu segi, Kementerian Dalam Negeri pula mahu melonggarkan undang-undang percetakan dan penerbitan. Suara Keadilan diberikan permit penerbitannya bulan lalu. Hari ini pengurusan Harakah yang dihubungi mStar Online mengesahkan pihaknya telah mendapat kelulusan untuk menerbit kembali akhbar itu dua kali seminggu iaitu kembali kepada pasaran sebelum Mac 2000.

Pembaharuan kehakiman yang diumumkan dua bulan lalu disusun untuk diteruskan. Begitu juga dalam bidang-bidang lain pentadbiran negara. Malah banyak yang diharapkan oleh rakyat.

Sementara berhadapan dengan dugaan dan ujian bertubi-tubi, parti-parti politik dan rakyat tiada pilihan selain memberikan sokongan moral kepada pembaharuan yang diinginkan Abdullah dengan harapan ia akan membantu melahirkan Bangsa Malaysia terbuka lagi mantap kelak.

No comments: