|
|
PUTRAJAYA 20 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersetuju supaya ditubuhkan sebuah sekretariat khusus untuk membela nasib kaum wanita, keluarga dan kanak-kanak Islam di negara ini.
Serentak itu, beliau mahu satu pelan strategik bagi pembangunan wanita Islam dirangka dan dikemukakan kepadanya minggu depan untuk perhatian kerajaan.
Penasihat Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, perkara itu diputuskan dalam sesi dialog Perdana Menteri dengan 76 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita dan kebajikan Islam di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, peranan yang akan dimainkan oleh sekretariat itu tidak akan menimbulkan pertindihan tugas dengan agensi-agensi kerajaan lain.
‘‘Perdana Menteri amat memahami isu-isu wanita yang telah terlalu lama tertunggak dan tidak diberi perhatian oleh Mahkamah Syariah seperti perceraian, hak penjagaan anak dan harta sepencarian.
‘‘Tumpuan utama sekretariat adalah pada undang-undang keluarga Islam kerana pelaksanaannya amat membimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog tertutup selama dua jam itu.
Turut menyertai dialog itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Prof. Datuk Dr. Sharifah Habsah Syed Hasan Shahabudin; Pengerusi Majlis Penasihat Pembangunan Wanita Negara (Naciwid), Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim dan Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Rafiah Salim.
Abdullah merupakan penaung kepada sekretariat yang diletakkan di bawah pejabat Penasihat Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial, yang juga akan bekerjasama rapat dengan portfolio Ahmad Zahid.
Shahrizat berkata, banyak isu yang dibangkitkan dalam sesi dialog itu akan diberi perhatian sewajarnya agar pembangunan dan kebajikan wanita Islam dapat diperjuangkan.
Beliau yang juga penasihat kepada sekretariat itu akan merangka pelan strategik tersebut bersama para pemimpin kanan NGO untuk menentukan hala tujunya secara terperinci.
Kata beliau: ‘‘Saya memberi jaminan bahawa peranan dan tanggungjawab sekretariat tidak akan bertindih dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.”
No comments:
Post a Comment