KOTA BHARU 20 Jun - Langkah Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee mengisytiharkan parti itu telah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dipercayai termakan tawaran daripada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, beliau difahamkan Teck Lee akan dilantik jawatan nombor dua kerajaan sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri kelak.
"Dengar kata macam-macam yang ditawarkan (kepada Teck Lee) seperti jawatan Timbalan Perdana Menteri dan royalti minyak.
"Sebenarnya saya nak tahu, apakah tawaran secara individu daripada Anwar kepada Teck Lee, adakah Teck Lee ditawarkan jawatan TPM kalau Anwar jadi PM. Jika benar, ia membuktikan ini bukan pendirian berprinsip, tapi bersyarat sebab dia memang dah berjumpa," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini, hari ini.
Khairy sebelum itu mengadakan perjumpaan tertutup dengan 14 ketua Pemuda UMNO bahagian di Kelantan.
Beliau turut menyelar tindakan Yong dan Anwar, penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), mengadakan perjumpaan di Hong Kong.
"Dari segi moral itu pun dah salah kerana bila dah mengaku jumpa Anwar dan kemudian nak sokong usul tidak percaya pada Perdana Menteri walaupun dia (Yong) masih lagi berlapik dan kata tak nak keluar dari Barisan Nasional (BN), ini menimbulkan tanda tanya.
"Kenapa nak jumpa di Hong Kong? Takut orang nampak?. Ini menimbulkan pelbagai tanda tanya, kita tahu sejarah Anwar dan Yong pada 1994 yang menyebabkan kerajaan Sabah jatuh. Ini bukan perkara baru," katanya.
Jelas Anggota Parlimen Rembau itu, tindakan SAPP yang akan membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri juga menunjukkan pendirian parti yang tidak konsisten.
Ini kerana, katanya, mustahil bagi parti komponen BN untuk menyokong usul tidak percaya kepada pengerusi BN dan pada masa yang sama masih lagi mahu memperjuangkan politik yang dibawa BN.
Katanya, Yong juga didakwa menggunakan kedudukan sebagai presiden parti untuk mendapat persetujuan mereka menyokong pendirian beliau berhubung usul itu.
"Saya difahamkan sebahagian besar anggota Majlis Tertinggi SAPP tidak setuju dengan pendirian Yong, tetapi beliau berjaya dapat persetujuan daripada mereka.
"Soalnya sekarang ni, adakah mereka dalam SAPP yang tak menyokong Yong akan tampil ke depan untuk membuat pendirian berbeza yang lebih konsisten, iaitu kalau nak terus bersama BN, mesti sokong pengerusi BN, tak ada pilihan bagi mana-mana parti dalam BN untuk tidak menyokong pengerusinya.
Sebagai anggota parlimen juga, katanya, beliau akan lihat apakah tindakan anggota parlimen SAPP yang lain iaitu Anggota Parlimen Tawau, Chua Soon Bui yang juga naib presiden parti dan Anggota Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun sama ada mereka akan bentang dan sokong usul tersebut.
"Saya harap Ketua Whip BN akan ambil tindakan sewajarnya jika mereka tetap dengan rancangan mereka," katanya.
— BERNAMA SHI AKT DC
No comments:
Post a Comment