IPOH: Peruntukan RM8 juta yang dibelanjakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) negeri ini dalam tempoh kurang dua bulan sebelum pilihan raya umum lalu adalah dana kerajaan Persekutuan yang diluluskan pada Oktober 2007.
Adun Manong, Datuk Ramly Zahari, berkata peruntukan itu dibelanjakan dengan sah kerana dana kerajaan Pusat dibenarkan dibawa ke tahun berikutnya untuk dimanfaatkan bagi menyiapkan projek k kecil.
Sebaliknya katanya, dana kerajaan negeri tidak boleh dibelanjakan pada tahun berikutnya dan dalam kes itu, Adun dan bekas Exco berkenaan menghabiskan dana kerajaan persekutuan.
"Adun dan Exco kerajaan tidak menggunakan wang negeri kerana peruntukan yang diluluskan tahun lalu tidak boleh dibelanjakan tahun ini," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kerajaan Perak semalam meminta kerajaan BN yang memerintah sebelum ini menjelaskan kepada rakyat mengenai dana pembangunan berjumlah RM8 juta yang dibelanjakan dalam masa dua bulan pertama tahun ini.
Exco Kanan Kewangan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Tenaga dan Air serta Hal-ehwal Bukan Islam, Datuk Ngeh Koo Ham, berkata kerajaan negeri terkejut dengan cara peruntukan RM75,000 untuk setiap Adun dan tambahan RM100,000 untuk Exco dihabiskan kerana dana berkenaan bagi projek kecil.
Sementara itu, Adun Batu Kurau, Datuk Najmudin Elias, berkata jumlah RM8 juta yang dipertikai kerajaan Pakatan Rakyat itu amat kecil berbanding dana negeri RM180 juta yang diluluskan bagi Bajet Negeri Perak, pada November lalu.
Katanya, peruntukan RM75,000 untuk setiap wakil rakyat digunakan untuk membina longkang, menurap jalan dan projek kecil lain yang perlu di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, projek untuk rakyat itu diluluskan oleh Pegawai Daerah dan dipantau oleh Penghulu atau Ketua Kampung.
No comments:
Post a Comment