Monday, June 04, 2007

Siling mahkamah syariah JB pula runtuh

04-06-2007 06:21:11 PM

JOHOR BARU: Sembilan keping siling dan beberapa lampu di Unit Pentadbiran Mahkamah Rendah Syariah, Kompleks Mahkamah Syariah Johor Baru di sini didapati runtuh pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Johor Datuk Baderi Dusuki berkata siling di unit yang terletak di tingkat lima bangunan tujuh tingkat itu disedari runtuh oleh seorang kakitangan unit tersebut pada kira-kira pukul 8 pagi tadi ketika hendak memulakan tugas.

"Kejadian ini tidak begitu serius dan tiada sesiapa di dalam bilik pejabat ini ketika kejadian berlaku kerana dipercayai ia berlaku pada hari cuti sama ada semalam atau Sabtu.

"Kesemua siling dan lampu itu sudah selesai dipasang semula oleh kontraktor yang terlibat kira-kira pukul 11 pagi tadi dan bilik itu disahkan selamat untuk digunakan," katanya kepada pemberita selepas meninjau tempat kejadian bersama Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Abdul Latif Yusof.

Baderi berkata, angin yang memasuki bilik itu ekoran tingkap yang tidak ditutup selepas waktu pejabat dipercayai menanggalkan siling dan lampu berkenaan, bagaimanapun siasatan terperinci akan dilakukan.

Katanya, ekoran kejadian itu, semua kakitangan kompleks berkenaan dinasihati supaya sentiasa memastikan tingkap ditutup untuk mengelakkan kejadian itu berulang.

Kompleks Mahkamah Syariah yang berhadapan Pantai Lido itu siap dibina pada September tahun lepas dengan kos RM27 juta dan mula beroperasi pada awal Januari lepas. BERNAMA

No comments: