PULAU PINANG: Sistem mengundi yang diamalkan sekarang adalah adil, cekap dan cepat dan sebarang langkah penambahbaikan sistemnya perlu mengikut peredaran masa dan bukan beralih kepada cara yang ketinggalan zaman, kata Timbalan Menteri Penerangan Datuk Seri Chia Kwang Chye.
Beliau berkata sebarang langkah yang diambil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memperbaiki sistem sedia ada mesti menggunakan teknologi terkini.
"SPR boleh membuat perubahan dengan menambahbaik sistem sekarang tetapi ini bukan bermakna kita balik kepada menggunakan cara yang sudah ketinggalan zaman," katanya pada sidang akhbar mengenai Karnival Hari Keluarga Bukit Bendera di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai cadangan SPR untuk melakukan pembaharuan pada pilihan raya umum akan datang dengan memperkenalkan peti undi lut sinar dan titik dakwat atas kuku pengundi bagi mengelakkan penipuan.
Bagaimanapun Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pada Jumaat lepas dilaporkan sebagai berkata, pada dasarnya SPR bersetuju untuk menggunakan sistem titik dakwat, tetapi ia masih tertakluk pada hasil kajian memandangkan cadangan itu tertakluk kepada undang-undang pilihan raya.
Mengenai laporan 4.6 juta orang yang layak mengundi tetapi masih belum mendaftar dengan SPR, Chia berkata kementerian itu akan bekerjasama dengan suruhanjaya berkenaan untuk menjalankan kempen bagi menggalakkan golongan yang layak supaya mendaftar sebagai pemilih.
"Kementerian akan bekerjasama dengan SPR untuk mengadakan kempen dan ia boleh dilakukan melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM)," katanya.
Mengenai karnival tersebut, beliau berkata ia akan diadakan di Taman Belia di sini Ahad ini dengan pelbagai perkhidmatan disediakan termasuk kaunter daftar pemilih oleh SPR, pemeriksaan kesihatan dan pengesahan MyKad. BERNAMA
No comments:
Post a Comment