KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) terus teguh dan tidak tergugat walaupun dengan kehadiran muka baru dan lama yang dibentuk dalam kepemimpinan Pas yang selesai bermuktamar pada Ahad lalu.
Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, kepemimpinan BN kini adalah barisan terbukti paling mantap sama ada pada peringkat nasional atau negeri.
"Kita tidak terasa tergugat langsung dengan kemunculan muka baru dan lama dalam Pas itu memandangkan kepemimpinan BN sentiasa bersedia untuk bersaing dengan siapa saja.
"Kepemimpinan BN sekarang dilihat lebih hebat dan mantap berbanding kepemimpinan baru dan lama dalam Pas sekarang," katanya ketika mengulas hasil pemilihan Pas yang berlangsung di Pusat Tarbiah Islamiyah Kelantan (Putik) di sini, Ahad lalu.
Mustapa yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, BN juga ada proses perubahan dalam parti dari semasa ke semasa dengan kemunculan muka baru yang mantap.
“Kemunculan muka baru dalam BN penting ke arah mengukuh dan memberikan pembaharuan kepada parti.
"Kepemimpinan dalam BN kini terbukti berwibawa dengan rekod serta prestasi terbaik dan parti akan terus bersaing dengan pembangkang dengan cara terbaik untuk meraih sokongan rakyat," katanya.
Ditanya mengenai penggabungan pemimpin profesional dan ulama dalam Pas, beliau berkata, gabungan dua golongan itu dijangka akan menempuh keadaan sukar.
Katanya, ada ramai penyokong parti pembangkang masih mahu kepada golongan ulama itu dan situasi itu terbukti dalam pemilihan pucuk pimpinan mereka yang lalu.
"Kita tahu wujudnya pertelingkahan antara dua golongan itu dalam Pas kerana ada ramai penyokong tegar kepada ulama," katanya.
Beliau berkata, golongan ulama dijangka masih mempunyai pengaruh kuat dalam Pas walaupun ketika kini wujud golongan profesional.
"Ini bermakna, walaupun mereka hendak menggabungkan dua golongan itu, kita menjangkakan Pas akan melalui detik sukar untuk berbuat demikian.
"Apa yang pasti, walaupun wujud penggabungan dalam parti itu, mereka masih tidak mampu menyaingi BN sama ada di peringkat pusat atau negeri," katanya.
No comments:
Post a Comment