KOTA BHARU 5 Jun – Para pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang belajar di institut pengajian tinggi awam dan swasta di dalam dan luar negara akan menerima elaun bulanan RM300 seorang tidak lama lagi.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed berkata, para pelajar tersebut bagaimanapun perlu mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terlebih dahulu bagi menentukan tahap kecacatan mereka.
‘‘JKM akan mengeluarkan laporan berkaitan kecacatan yang dialami pelajar berkenaan sebelum melayakkan mereka mendapat elaun itu.
‘‘Peruntukan besar yang disalurkan oleh kerajaan itu akan membolehkan golongan OKU meneruskan pengajian mereka tanpa menghadapi masalah kewangan,” katanya.
Mustapa memberitahu, mereka yang terpilih akan diberi elaun bulanan sehingga akhir pengajian yang akan disalurkan melalui kementeriannya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Tilawah al-Quran dan Nasyid Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim), di sini malam tadi.
Sebanyak 2,500 anak-anak yatim dari rumah anak-anak yatim seluruh negara menghadiri majlis itu yang menyaksikan 26 peserta tilawah dan 195 peserta nasyid mengambil bahagian dalam pertandingan akhir itu.
Turut hadir ialah Presiden Peyatim, Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansor dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan, Datuk Dr. Abdul Razak Kechik.
No comments:
Post a Comment