Saturday, May 10, 2008

Mehnah Dan Tribulasi Dalam Perjuangan

April 10, 2008 oleh Muhtar Suhaili


Allah SWT berfirman di dalam Al-Qur’an, Surah Al-Ankabut, ayat 2-3:

(Maksudnya): Apakah manusia itu megira bahawa mereka akan dibiarkan (begitu sahaja setelah mereka) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya (dengan itu) Allah mengetahui orang-orang yang dusta (di kalangan mereka).

Sebagai muqaddimah, marilah kita memahami maksud mehnah terlebih dahulu. Ramai yang amat suka menyebut ayat bombastic mehnah dan tribulasi yang sedap didengar ini di dalam ceramah-ceramahnya, tetapi sejauh mana hadirin dan kita benar-benar faham akan pengertiannya?

Secara ringkas, mehnah berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud ujian atau cabaran. Tribulasi pula berasal daripada perkataan Inggeris tribulation yang membawa maksud kesengsaraan atau kesusahan. Tribulasi juga boleh membawa maksud ujian, cuma ianya adalah dalam bentuk kesusahan.

Sememangnya telah menjadi lumrah dan fitrah dalam perjuangan menegakkan agama Allah ini, para pejuang pasti berhadapan dengan pelbagai ujian dan rintangan. Istilah yang sering kita gunakan adalah mehnah dan tribulasi. Sejarah telah membuktikan bahawa semua pejuang Islam yang benar-benar ikhlas dan berada dalam jalan yang benar tidak mungkin terlepas daripada dikenakan ujian. Para Nabi, para Rasul Allah, sahabat-sahabat mereka, para ulama’ pewaris Nabi dan sekalian da’ie. Secara umum pastinya ditimpa ujian yang datang menguji. Perkara ini sudah menjadi suatu kemestian atau prasyarat kepada pejuang Islam bagi melihat sejauh mana ketahanan dan istiqamah mereka dalam perjuangan.

Sejarah Perjuangan Islam

Sejarah perjuangan Islam bermula dengan lahirnya Nabi Adam a.s. Perjuangan beserta mehnah dan tribulasi ini kemudiannya terpaksa dihadapi oleh Rasul-rasul dan pejuang-pejuang Islam selepasnya. Contoh-contoh perjuangan yang perlu dihadapi oleh nabi-nabi dan Rasul-rasul terdahulu adalah seperti:

Nabi Musa a.s. yang menghadapi kezaliman Fir’aun dalam melaksanakan dakwahnya sepertimana yang diceritakan di dalam Al-Quran:

“Sesungguhnya Fir’aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah-belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Fir’aun termasuk orang-orang yang berbuat kerusakan” (Surah Al-Qasas, ayat4).

Nabi Luth a.s. juga menghadapi cabaran dalam menyebarkan da’wahnya apabila beliau dikelilingi oleh umat-umatnya yang tidak mahu mengikut sunnah kejadian manusia. Mereka hidup dalam kemungkaran iaitu mengamalkan tabiat homoseksual. Ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud:

“Luth berkata: “Sesungguhnya mereka adalah tamuku; maka janganlah kamu memberi malu (kepadaku)”” (Surah Al-Hijr, ayat 68).

Rasulullah Nabi Muhammad SAW juga tidak terlepas daripada menerima tentangan musuh-musuh Islam yang mengingkari da’wah Islamiyyah yang ingin baginda sampaikan. Segala bentuk komplot, penghinaan, cacian, makian, fitnah dan penyeksaan fizikal dan mental baginda diuji. Namun, segala cabaran dan mehnah yang datang tidak pernah menggentarkan Rasulullah SAW untuk terus menyebarkan risalah Islam bersama para sahabat baginda pada ketika itu.

Cabaran Masa Kini

Setiap zaman akan lahir pendokong-pendokong agama Allah. Imam Hassan Al-Banna (Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin) ditentang hebat atas alasan mengganggu-gugat kelangsungan perancangan penjajah-penjajah Barat. Beliau ditembak dan (mudah-mudahan) syaheed pada tahun 1949 kerana membangkitkan kesedaran dan kebenaran di kalangan rakyat. Syed Qutb dihukum bunuh pada tahun 1966. Institut perisik negaranya telah menyusun pelbagai fitnah untuk menimbulkan kebencian terhadap gerakan dan penyokong-penyokong beliau. Zainab Al-Ghazali, srikandi Muslimat, diheret oleh pihak kerajaan ke penjara dan dikurung di bilik yang penuh dengan anjing-anjing liar semata-mata kerana da’wah Islam yang ingin beliau sebarkan.

Bentuk-bentuk Mehnah dan Tribulasi

Hadis Rasulullah SAW bermaksud:

“Orang Mukmin sentiasa di ambang lima dugaan yang susah; mukmin yang dengki padanya, munafik yang benci padanya, kafir yang memeranginya, syaitan yang menyesatkannya dan nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya”.

Terdapat beberapa halangan dalam dunia Islam. Pelbagai cabaran yang menghalangnya menuju puncak kegemilangan. Di antara contoh-contohnya ialah;

a) Perancangan mantap oleh Yahudi (Zionis) untuk menghancurkan Islam

- Membuat strategi untuk mencabul nilai-nilai ketuhanan dan kehambaan kepada Allah. Buktinya, berlaku pada tahun 1895, apabila kongres pertama orang-orang Yahudi telah menetapkan untuk menghancurkan umat Islam di seluruh dunia dan menjadikan mereka hamba-hamba Zionis

- Membudayakan orang-orang Islam dengan materialisme sehingga mereka sanggup menukar prinsip yang ditetapkan Allah untuk mencapai kemewahan dan memenuhi hawa nafsu.

b) Umat Islam lupa diri dan berada jauh dari nilai-nilai Islam yang sebenar

- Berpecah-belah sesama sendiri

- Mengutamakan kepentingan diri lebih daripada kehendak Allah.

c) Kelemahan pemikiran umat Islam

- Meniru dan meminjam idea-idea asing

- Prinsip berpada dengan apa yang ada menyebabkan tiada inisiatif dan usaha untuk menghasilkan benda baru untuk dunia Islam.

d) Keruntuhan akhlak dan iman umat Islam

- Anuar Al-Jundi, ahli fikir dan pengarang Islam menulis bahawa mereka telah memutuskan bahawa peperangan yang bakal dilancarkan ke dunia Islam ialah peperangan idea dan kata-kata kerana aqidah umat Islam tetap teguh walaupun mundur pada aspek yang lain. Oleh itu, perlu dilemahkan aqidah tersebut dan inilah agenda evergreen mereka seantero dunia.


Hikmah Mehnah dan Tribulasi

Antara hikmah mehnah dan tribulasi yang akan dapat dikecapi oleh para Mukmin termasuklah:

  • Menunjukkan sifat kehambaan, tanggungjawab serta pergantungan kepada Allah SWT
  • Menampakkan yang haq dan yang batil
  • Sebagai satu bentuk pentarbiyyahan diri
  • Melahirkan individu yang berjiwa besar untuk kebangkitan Islam
  • Membersihkan diri orang-orang yang beriman supaya keimanan mereka semakin mantap
  • Mendidik generasi menjadi sabar, tangkas dan mempunyai azam yang kuat.

Cara-Cara Menghadapi Mehnah dan Tribulasi

Akhir sekali, berikut disertakan beberapa cara menghadapi mehnah dan tribulasi sebagai panduan. Semoga ia bermanfaat buat diri(ku) yang sentiasa lupa dan alpa. Bimbinglah kami Ya Allah!

  • Ikhlas dalam perjuangan
  • Mendidik jiwa dan ketahanan menerusi latihan kerohanian
  • Berada dalam jamaah
  • Sabar dan gigih dalam menghadapi musuh-musuh Islam
  • Meletakkan cita-cita tertinggi “syaheed dalam perjuangan” sebagai matlamat utama!

“Ya Allah, andainya hari ini hari kepulanganku, maka jadikanlah semua aktivitiku sebagai kebaikan di sisimu”. Amiin Ya Rabb!

Wallahu a’la wa a’lam.

No comments: