PADA pilihan raya umum 13 Mac lalu, rakyat telah memberikan amanah kepada 222 wakil rakyat untuk menyuarakan nasib dan masalah mereka di Dewan Rakyat.
Sama ada kerana yakin atau terpengaruh dengan janji yang ditaburkan, rakyat juga rela memberi undi kepada wakil-wakil rakyat muda untuk memperjuangkan nasib mereka.
Sehubungan itu juga Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Kedua Belas dari 28 April hingga 29 Mei dinanti-nanti oleh semua pihak.
Selain kehadiran anggota pembangkang yang lebih ramai iaitu 82 orang berbanding Barisan Nasional 140, tumpuan juga sudah tentu kepada 99 muka baru.
Termasuk di kalangan muka baru itu ialah mereka yang lantang dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis sosial dan masyarakat yang sebelum ini sering turun berdemonstrasi di jalan-jalan raya di ibu negara.
Malah ada di kalangan mereka itu sebelum ini pernah 'menyerbu' Parlimen untuk membuat bantahan atas alasan memperjuangkan nasib rakyat.
Tetapi selepas mesyuarat pertama bersidang selama 18 hari, harapan untuk melihat muka baru tetapi mempunyai nama besar untuk menonjol sama ada di pihak BN mahupun pembangkang tidak menjadi kenyataan.
Di pihak BN, muka-muka lama terus menguasai perbahasan pada sesi persidangan dengan sekali sekala dicelahi oleh YB baru.
Malah Kelab Ahli Parlimen BN (BNBBC) juga terus bergantung kepada orang lama seperti Dr. Mohd. Fuad Zarkashi (BN-Batu Pahat) yang sentiasa bangun menyuarakan pandangan selain berhujah dengan wakil rakyat pembangkang.
Mereka yang lantang berbahas dan mencelah masih muka lama seperti Razali Ibrahim (BN-Muar), Hamim Samuri (BN-Ledang) dan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) selain wakil rakyat dari Sabah seperti Datuk Ghafur Salleh (BN-Kalabakan).
Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) walaupun lebih senyap pada sesi kali ini, namun penampilannya yang sekali-sekala itu masih berkesan.
Perkara yang serupa juga berlaku di barisan pembangkang kerana asyik muka lama sahaja yang bangun untuk berhujah.
Apa sudah jadi dengan aktivis sosial, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penulis blog terkenal dan tokoh-tokoh muda yang dikatakan bakal memberi nafas baru kepada pembangkang.
Nama-sama seperti Ooi Chuan Aun atau Jeff Ooi (DAP-Jelutung), Sivarasa Rasiah (PKR-Subang), Tian Chua (DAP-Batu) dan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) tidak lantang seperti di luar dewan. Begitu juga dengan Gwo-Burne Loh (DAP-Kelana Jaya) danl Nurul Izzah Anwar yang lebih banyak mendapat perhatian media ketika di luar dewan berbanding perbahasan.
Ada antara mereka mungkin kerana kerjaya lebih penting daripada membawa amanah rakyat di Parlimen selalu muncul di akhir-akhir sesi persidangan dan sering ketinggalan isu yang dibahaskan.
Isu rakyat tidak banyak disentuh oleh mereka kerana masing-masing lebih memberi tumpuan kepada perkara-perkara sensasi yang dapat menonjolkan diri walaupun ia tidak ada kena mengena dengan masalah penduduk di kawasan mereka.
Selain itu, ada ahli-ahli Parlimen terutama di kalangan pembangkang tidak bangun mengambil bahagian dalam perbahasan kerana tidak fasih berbahasa kebangsaan.
Malah pada hari terakhir persidangan Khamis lalu seorang ahli Parlimen DAP menghabiskan masa kira-kira lima minit untuk mengorek hidung sahaja.
Apa pun muka-muka lama di kalangan pembangkang masih berkesan seperti Sallehuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian), Lim Kit Siang (DAP-Ipos Timur), Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) selain beberapa wakil rakyat wanita mereka.
Namun ramai bersetuju antara yang paling menonjol pada persidangan Parlimen kali ini ialah Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) yang sentiasa konsisten dengan hujahnya dan N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) kerana sering mendapat tumpuan di sebalik pelbagai kontroversi dicetuskan.
No comments:
Post a Comment