Wednesday, August 06, 2008

Pilihan raya Permatang Pauh 26 Ogos

PUTRAJAYA: Penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh ditetapkan pada Sabtu, 16 Ogos ini, manakala pengundian Selasa, 26 Ogos dengan tempoh berkempen selama 10 hari.


Tarikh itu diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, dalam kenyataan yang diedarkan Pegawai Perhubungan Awamnya, Sabri Said, di lobi Ibu Pejabat SPR di sini selepas mesyuarat panel suruhanjaya itu selama kira-kira empat jam, tengah hari semalam

Dalam kenyataan itu, Abdul Rashid berkata, writ pilihan raya kecil itu dikeluarkan hari ini, manakala notis mengenainya pula esok.

Calon juga dilarang menyentuh isu yang membabitkan kes petisyen Pilihan Raya Umum 2008 ketika berkempen kerana beberapa kes berkenaan masih dalam perbicaraan.

Seramai 58,459 pemilih iaitu 57,969 pemilih biasa dan 490 pemilih pos, layak mengundi dalam pilihan raya kecil itu berikutan penggunaan Daftar Pemilih Induk 2007 yang diwartakan pada 5 Februari serta Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2008 yang diwartakan pada 19 Jun dan dikemaskinikan sehingga 31 Julai lalu.

Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah, Roslan Yahaya pula dilantik sebagai Pegawai Pengurus, manakala Setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Perai, Zainol Abidin Md Noh, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan) Seberang Perai Tengah, Kamarul Haizal Koderat dan Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Seberang Perai Tengah, Azizal Ahmad sebagai Penolong Pegawai Pengurus.

Abdul Rashid turut mengingatkan semua pihak supaya mematuhi arahan pihak keselamatan dalam menjaga ketenteraman dan keselamatan awam sepanjang tempoh pilihan raya kecil itu."Oleh itu, semua pihak terutama parti politik, calon, petugas parti dan individu lain yang terbabit perlu sentiasa mematuhi undang-undang pilihan raya serta tatasusila berkempen yang ditetapkan," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan Ahli Parlimennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 31 Julai lalu bagi memberi laluan kepada suaminya yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk bertanding kerusi itu semula.

Pada Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu, Presiden PKR itu mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Pirdaus Ismail dengan majoriti 13,388 undi.

No comments: