Secara keseluruhan politik wang sudah jadi barah: Syed Hamid
Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Kota Tinggi, berkata berdasarkan pandangan peribadinya, secara keseluruhan politik wang sudah menjadi barah dan semakin merebak bukan hanya di peringkat tertinggi tetapi juga di akar umbi.
"Saya tidak pasti sama ada barah (politik wang) ini boleh diubati atau tidak, tetapi pertandingan kali ini, mempunyai kemaruk yang buruk... semua pihak bertanding bersungguh-sungguh seperti hendak berperang," katanya di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemilihan Umno peringkat cawangan yang berlangsung selama sebulan berakhir bulan ini.
Syed Hamid yang juga Menteri Dalam Negeri menghadapi tentangan ahli perniagaan, Daing A Malik Daing Abdul Rahman yang menyaksikan beliau masih ketinggalan dari segi jumlah pencalonan selepas hanya memperoleh empat pencalonan sehingga, kelmarin.
Umno bahagian Kota Tinggi mempunyai 46 cawangan dan semuanya akan habis bermesyuarat akhir minggu depan.
Syed Hamid berkata, pemilihan kali ini juga bukan sekadar menggunakan wang, tetapi ada calon yang turut menggunakan pengaruh luar dan mengeluarkan pelbagai ancaman kepada ahli untuk menakut-nakutkan mereka.
"Saya takut habis pemilihan nanti, bagaimana kita hendak memulihkan semula Umno... siapa pun yang jadi pemimpin selepas ini, perlu mengakui bahawa Umno berhadapan dengan masalah sekiranya, politik wang tidak dibanteras.
"Secara peribadi, saya berasa takut menyaksikan dan mendengar mengenai pemilihan pada peringkat cawangan kerana semua yang bertanding berhabis-habisan seperti esok nak kiamat... ini tidak harus berlaku, Umno akan rosak, rakyat akan menyampah melihat gelagat seperti ini," katanya.
Beliau berkata, walaupun pemilihan Umno adalah proses demokrasi tetapi ia akan menimbulkan kesan negatif jika disalahgunakan.
No comments:
Post a Comment