Sunday, March 09, 2008

Tsunami politik pilihan raya

MENGEJUTKAN. Mungkin inilah analisis awal yang boleh diterjemahkan berikutan tumbangnya calon-calon berpengaruh Barisan Nasional (BN) termasuk di kawasan yang dianggap selamat.

Juga mengejutkan apabila dua negeri di utara, Pulau Pinang dan Kedah berubah kedudukan dengan jatuh ke tangan pembangkang, selain Kelantan yang kekal di bawah pemerintahan Pas.

Dalam keputusan awal yang belum disahkan, BN juga gagal mempertahankan Selangor manakala Perak kehilangan banyak kerusi.

Apa yang boleh digambarkan daripada keputusan luar dugaan ini? Ada yang menamakan tsunami politik. Ada yang menyebutnya ledakan perubahan.

Di atas kertas, tiada isu besar yang menonjol. Isu politik, ekonomi sosial dan perkauman yang dibangkitkan oleh pembangkang secara relatifnya dapat ‘diurus’ dengan baik oleh pemerintah.

Pilihan Raya Umum Ke-12 ini memang sukar difahami. Penganalisis politik mungkin sahaja perlu berfikir panjang sebelum mampu mengeluarkan komentar bernas.

Tiada ramalan mereka yang menepati atau hampir menepati keputusan pilihan raya kali ini. Siapa sangka Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu boleh tewas di Parlimen Sungai Siput yang dikuasainya sejak pilihan raya umum 1974.

Siapa menduga Nurul Izzah, anak Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menumbangkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang sudah sebati dengan Parlimen Lembah Pantai?

Begitu juga, tiada yang berani meramalkan Kedah bakal jatuh ke tangan pembangkang dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon boleh tumbang bersama-sama negeri kelahirannya itu.

Bagaimana untuk mentafsirkan yang tersurat mahupun tersirat apabila calon DAP, M. Manoharan, yang masih ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menang kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah dengan memperoleh 12,699 undi menewaskan calon BN, Ching Su Chen (5,515 undi).

Apa yang boleh dikatakan apabila calon PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim yang tewas pada pilihan raya kecil DUN Ijok pada April tahun lalu, kembali bukan sahaja menawan Ijok tetapi juga Parlimen Bandar Tun Razak.

Ramalan para penganalisis politik seperti terbalik. Mungkin pembangkang juga tidak menyangka begitu besarnya arus perubahan yang berlaku.

Dalam perjalanan 50 tahun demokrasi Malaysia, ini adalah antara rekod terburuk yang pernah dialami oleh BN. Di atas rekod, Malaysia telah diperintah oleh BN (dahulu Perikatan) dengan majoriti dua pertiga tanpa gagal sejak lima dekad lalu.

BN tidak pernah gagal dalam setiap pilihan raya sejak merdeka kecuali pada 1969 dengan majoriti mudah iaitu 51 peratus.

Dalam sejarah, tercatat Perikatan/BN menang 74 daripada 104 kerusi Parlimen atau 71 peratus pada 1959, 85 peratus (1964), 51 peratus (1969), 87 peratus (1974), 84 peratus (1978), 85 peratus (1982), 83 peratus (1986), 70 peratus (1990), 84 peratus (1995), 76 peratus (1999) dan 90 peratus (2004).

Sebut sahaja apa pergolakan yang melanda, BN tetap bertakhta di hati rakyat. Walaupun ada pergolakan politik besar seperti perpecahan dalam UMNO dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, BN masih menang besar pada 1990 dan 1999 dengan majoriti dua pertiga.

Krisis kemelesetan ekonomi juga tidak dapat menafikan majoriti dua pertiga BN pada pilihan raya umum 1986 dan 1999.

Inilah realiti politik yang perlu ditempuh oleh BN pada pilihan raya kali ini. Mungkin ini isyarat untuk BN berbuat sesuatu yang drastik bagi menghadapi pilihan raya umum lima tahun lagi.

Rakyat telah memuktamadkan pilihan mereka. Dalam keadaan luar dugaan ini, semua pihak - yang menang dan kalah - harus bersikap tenang. Jangan menang sorak, kampung tergadai.

Inilah demokrasi, sistem yang Malaysia anuti sejak merdeka. Harganya memang mahal dan inilah kehendak rakyat yang semestinya dihormati.

No comments: