Hanya BN yang mampu merawat Kelantan yang sedang parah akibat tidak pandai diurus oleh PAS yang sudah 18 tahun mentadbir Kelantan. Itulah yang boleh ditafsir oleh orang ramai terutamanya orang Kelantan dengan apa yang di maksudkan oleh Najib.
Atau lebih tepat lagi adakah Najib yang beriya-iya mengatakan orang Kelantan yang kebanyakkannya golongan cerdik pandai adalah sedikit bodoh kerana menyokong Parti PAS selama ini.
Disebabkan ramai rakyat Kelantan yang berada di kalangan orang-orang berkuasa di pusatlah maka mereka terasa jijik dengan kerakusan orang-orang besar dalam BN dalam meratah harta dan kekayaan negara.
Mereka-mereka yang berada di luar Kelantan inilah yang meracuni pemikiran rakyat Kelantan supaya tidak mengikut rakyat Malaysia yang lain yang masih setia dengan Umno/ BN kerana mereka sudah tahu apa yang akan terjadi kepada negeri Kelantan jika BN memerintah semula.
Jika mereka memerintah semula maka habislah kelab-kelab malam, tempat judi dan maksiat akan tumbuh seperti cendawan diseluruh bandar di negeri ini. (Masih ingat lagi semasa PRU tahun 1995, BN telah menggunakan isu hiburan kepada orang muda untuk menarik sokongan kepad mereka – kisah penulis sendiri).
Mereka-mereka ini pernah berjanji untuk menyediakan tempat-tempat hiburan kepada orang-orang muda jika memberi peluang kemenangan kepada mereka. Orang-orang Kelantan yang dahagakan syurga dunia tidak lagi perlu ke sempadan untuk menyeberangi Sungai Golok ataupun ke Kuantan mahupun ke Kuala Lumpur untuk berhibur.
Hanya dengan memberikan undi kemenangan kepada BN maka semua ini akan terhidang di depan mata. Walaupun mereka akan menidakkan semua penyakit dan gejala-gejala sosial ini tetapi apakah dapat mereka buktikan penafian ini sedangkan pada masa yang sama di negeri-negeri lain yang dikuasai mereka semua ini sedang bermaharajalela.
Menyentuh pula isu masjid yang sedang dijaja seluruh tanah air, tak perlu diulas panjang kerana di Kelantan ini hanya orang yang ke masjid saja tahu tentang perkara sebenar. Malah sejak zaman Rasulullah (SAW) lagi sudah wujud manusia yang lebih mementingkan pembinaan masjid yang gah tetapi pengisian di dalamnya adalah sifar.
Jika ini yang cuba dibawa oleh Najib Ke Kelantan maka simpanlah hasrat murni beliau itu. Cubalah fikir macam mana untuk memakmurkan masjid itu sendiri jangan hanya setakat melakukan upacara pecah tanah sahaja dan selepas itu berkokok di seluruh alam yang mereka telah membanyakkan Rumah Allah tetapi hakikatnya Rumah itu sepi tanpa penghuni.
Kalau betul beliau adalah Amirul Mukminin maka tarbiahlah anak isteri beliau untuk berpakaian secara muslimat. Al-Quran dan Hadis sudah mengariskan apa yang yang perlu dipatuhi, jika perkara asas dan wajib itu pun sangat sukar dituruti maka apa lagi yang boleh diharapkan untuk membawa rakyat ke jalan yang benar.
Apa yang diketahui ialah di Kelantan ini, rakyat berlumba-lumba untuk mendermakan wang ringgit mereka malah sehinggakan ada yang menyumbangkan harta benda untuk membina Rumah Allah. Kerana mereka tahu dengan derma mereka walaupun satu sen, balasan pahala daripada Allah (SWT) adalah berterusan sehingga ke hari kiamat.
Kerajaan Kelantan telah membuka jalan yang mudah untuk rakyatnya sama-sama mencari Keredhaan dan Rahmat-Nya. Kenapa perlu kita takbur dan memperlekehkan jalan yang dipilih orang lain sedang apa yang diumumkan dan ditaburkan itu adalah hasil titik peluh rakyat semuanya tanpa mengira parti mana yang mereka sertai.
Adakah rakyat yang menyokong pembangkang itu terpaksa dianaktirikan kerana kerajaan BN tidak pernah mengutip hasil dari setiap usaha dan titik peluh mereka. Jika ya, maka betullah apa yang dilaung-laungkan oleh Najib tetapi jika tidak maka kaki temberanglah orang Pekan yang bernama Najib ini.
Di Kelantan ini ada dua pihak yang mentadbir sebenarnya satu kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya negeri yang bersekali dengan pilihanraya umum manakala satu lagi adalah satu pihak yang dilantik secara khusus oleh kerajaan persekutuan atas alasan tidak yakin dengan peruntukkan geran tahunan dapat diurus tadbir dengan baik oleh kerajaan negeri.
Malah selain daripada agensi itu terdapat lagi agensi yang lain yang mempunyai sifat seakan-akan kuasa autonomi malah mendapat peruntukkan yang banyak untuk mentadbir urus rakyat Kelantan.
Selain JPP yang tiada di negeri lain, terdapat lagi agensi seperti KADA, dan Kesedar yang didakwa banyak membina ekonomi rakyat Kelantan dalam kawasan masing-masing. Malah peruntukkan yang diterima oleh mereka setiap tahun oleh mereka mungkin lebih tinggi belanjawan kerajaan negeri itu sendiri tetapi masing-masing dalam kawasan-kawasan yang terhad.
Malah ada desas-desus yang mengatakan kakitangan JPP adalah lebih suka Kelantan terus dikuasai PAS. Kerana telah berlaku di Terengganu, apabila BN kembali berkuasa seluruh JPP di setiap daerah terpaksa ditutup dan orang-orang terengganu yang bekerja dengan agensi terbabit terpaksa dihantar ke agensi lain luar daripada Terengganu untuk terus berkhidmat.
Bayangkan jika ini berlaku kakitangan yang sudah 18 tahun bekerja di Kelantan terpaksa berkhidmat di luar Kelantan apabila BN menang, sedangkan BN melaung-laungkan akan membawa balik anak-anak Kelantan di perantauan bila mereka menang.
Berbalik kepada Kesedar dan KADA. Telah diketahui bahawa kedua-dua agensi ini menerima peruntukkan yang besar setiap tahun dari pusat, tetapi apakah kemampuan tadbir urus mereka sehinggakan sehingga sekarang penduduk-penduduk miskin dan miskin tegar kebanyakkan adalah dari kawasan mereka.
Jika peruntukkan kedua-dua agensi itu yang ditadbir urus oleh kroni-kroni pemimpin BN yang peruntukkannya hampir menyamai belanjawan negeri masih lagi di tahap lama maka apakah dapat mentadbir Kelantan dengan sebaiknya jika mereka menang nanti.
Dalam keadaan sebegini mahukah rakyat Kelantan kembali seperti zaman BN berkuasa dahulu. Perkara-perkara seperti maksiat adalah halal, agama dijadikan alat politik semata-mata, pemimpin dan kroni terus menjadi elit-elit kecil yang menguasai kekayaan negeri sedangkan apa yang diterima rakyat hanyalah sisa-sisa mereka yang layak dibuang kedalam tong sampah.
Apakah yang ingin di rawat oleh BN di Kelantan ini sedangkan mereka sendiri tidak pernah terdetik untuk merawat diri mereka sendiri yang sudah parah.
No comments:
Post a Comment