Oleh HAMDEN RAMLI
KUALA LUMPUR 24 Mei – Harga barangan keperluan harian di kebanyakan bandar utama di seluruh negara terkawal kecuali di Kota Bharu, Kelantan dan Seberang Prai, Pulau Pinang yang memperlihatkan kenaikan mendadak.
Tinjauan Utusan Malaysia di dua pasar utama di Kota Bharu mendapati harga barangan keperluan harian naik sehingga 100 peratus berbanding minggu lalu.
Sebagai contoh, harga ikan kembung di Pasar Siti Khadijah melambung kepada RM8 sekilogram berbanding RM4 minggu lalu.
Harga kobis bulat pula naik RM5 sekilogram berbanding RM2 minggu lalu.
Turut naik ialah harga cili merah RM6.80 sekilogram berbanding RM5 sebelumnya, ayam RM5.30 sekilogram (RM4.80), bayam RM2.50 sekilogram (RM2) dan sawi RM3.50 sekilogram (RM3).
Harga barangan di Pasar Kubang Pasu, juga di Kelantan, turut naik termasuk ikan kembung RM8 sekilogram berbanding RM6 minggu lalu, cili merah RM7 sekilogram (RM5), kobis bulat RM6 sekilogram (RM2) dan ayam RM5.50 sekilogram (RM4.80).
Di Pasar Pagi Seberang Prai pula, harga cili merah dilaporkan naik kepada RM12 sekilogram berbanding RM8 sebelum ini, ikan kembung RM2.80 sekilogram (RM2.50) dan kelapa RM4 sekilogram (RM3.50),
Bagaimanapun keadaan berbeza di bahagian pulau apabila beberapa barangan dilaporkan mengalami penurunan harga termasuk cili merah, kelapa dan kobis bulat.
Cili merah dijual RM5.99 dan RM9 sekilogram, masing-masing di pasar raya besar dan pasar basah berbanding RM10 sebelum ini.
Hasil tinjauan mendapati harga beberapa barangan yang dijual di pasar raya besar didapati lebih rendah berbanding pasar basah.
Harga barangan keperluan lain pula kekal seperti minggu sebelumnya.
Dalam pada itu, peniaga di Pasar Siti Khadijah dan Pasar Kubang Pasu yang ditemui hari ini mendakwa kenaikan harga tidak dapat dielakkan ekoran tindakan pengilang dan pemborong menaikkan harga bekalan.
Selain alasan kos yang meningkat, faktor cuaca tidak menentu dikatakan menyebabkan bekalan barangan harian seperti ikan dan sayuran terhad sehingga mendorong kenaikan harga.
Di Butterworth, para peruncit dan peniaga pasar pagi sekitar bandar turut menyalahkan pihak pemborong sebagai dalang yang menyebabkan kenaikan harga barang keperluan sejak kebelakangan ini.
Mereka berpendapat, sikap segelintir pemborong yang menaikkan harga jualan sesuka hati menyebabkan peruncit dan peniaga kecil tiada pilihan selain terpaksa turut menaikkan harga bagi mengelak daripada menanggung kerugian.
Peruncit, S. Thenepathy, 28, berkata, ketidaktentuan harga barang kawalan seperti tepung pada masa ini adalah berpunca daripada tindakan pemborong yang menaikkan harga bahan itu baru-baru ini.
Dia memberi contoh, baru-baru ini pemborong menaikkan harga tepung sehingga RM32.80 seguni berbanding hanya RM29 sebelum ini.
"Jadi, kami terpaksa menaikkan harga mengikut peningkatan harga pemborong, kalau kita boleh kekalkan (harga lama) kita kekalkan, tapi untuk elak rugi kami kena naikkan harga juga.
"Kami (peruncit) tidak boleh naikkan harga suka hati sebab nanti pembeli akan marah dan akhirnya kami juga yang kehilangan pelanggan,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tinjauan di beberapa pasar di bandar-bandar lain termasuk Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching, Kuantan dan Kuala Lumpur mendapati peniaga masih menjual barangan pada harga sama.
Walaupun berlaku kenaikan harga pada barangan keperluan harian tertentu tetapi ia lebih didorong oleh faktor tawaran dan permintaan, bukannya pengumuman kenaikan gaji baru-baru ini. - Utusan Online
No comments:
Post a Comment