Monday, January 29, 2007

Sukarelawan Kelantan terus tabur bakti di Johor

Rizal Tahir
Mon | Jan 29, 07 | 11:15:56 AM


KOTA BHARU, 29 Jan -
‘Cubit paha kiri paha kanan terasa’ mungkin menjadi falsafah kepada rakyat Kelantan apabila mereka merasakan terus terpanggil bagi membantu rakyat Johor yang menderita akibat banjir.

Bukan lagi sekadar wang ringgit yang diberi, malah mereka juga tidak ‘kedekut’ tenaga bagi sama-sama membantu mangsa banjir.

Petang Khamis lalu seramai 200 lagi sukarelawan bertolak ke Johor bagi membantu mangsa banjir. Misi kemanusiaan itu merupakan kali ketiga, kali ini dinaungi di bawah Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan.

Misi tersebut dilengkapi bersama pakaian harian seperti tuala wanita, lampin pakai buang bayi dan ubat-ubatan yang kesemuanya berjumlah RM100,000. Ketua rombongan iaitu Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Zulkifli Mohd Yusof.

Ketika ditemui selepas kembali dari misi tersebut beliau berkata, lampin pakai buang untuk bayi merupakan keperluan utama bagi mangsa-mangsa banjir terutamanya yang berada di tempat-tempat pemindahan.

“Sukarelawan kali ini juga terlibat membantu mencuci rumah mangsa-mangsa banjir di samping membuang sampah sarap. Kita membantu membersih rumah mereka. Mereka cukup terharu menerima bantuan kami,” katanya.

Rombongan itu sebelum ini dilepaskan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di JKR 10. Turut sama dalam rombongan itu badan-badan bukan kerajaan, penghulu wanita, anggota Nisa’ dan Majlis Pengetua Sekolah Agama Yayasan Islam Kelantan.

Ikut sama isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim dan isteri anggota Parlimen Rantau Panjang, Nik Rahimah Hussin.

Sebelum ini kerajaan negeri menyumbang sebanyak RM1 juta bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Johor.

No comments: