Monday, April 20, 2009

Muqabalah dan Pakatan Rakyat Bukan Isu


PERUNDINGAN dengan Umno (muqabalah) dan usaha memperkukuhkan Pakatan Rakyat sepatutnya tidak dijadikan isu menjelang muktamar Pas akan datang. Isu ini tidak pantas untuk mencemarkan sesiapa. Isu ini juga tidak ‘berkelulu’ relevan untuk dijadikan isu bagi mengenepikan mana-mana individu atau kumpulan di dalam Pas.

Sayang isu ini tampaknya dijadikan modal utama oleh pihak tertentu. Sama ada Pas hendak berunding dengan Umno atau hendak mengukuhkan Pakatan Rakyat tidak berbangkit sebenarnya. Kedua perkara itu dipersetujui dan diterima oleh Pas, dan ianya baik. Tidak wajar kalau ada mana-mana pihak menjadi perkara ini satu perbezaan besar dalam minda Pas.

Tidak ada siapa yang menolak secara membabi buta mengenai kedua perkara ini. Isu perundingan juga diterima manakala isu mengukuhkan Pakatan Rakyat juga diakui. Bila Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta ianya ditukar nama dari muzakarah kepada muqabalah, bukan bermakna Mursyidul Am itu menolak secara total.

Kenapa perkara ini timbul masalah ialah apabila pembetulan oleh Nik Aziz Nik Mat itu disalah ertikan atau sengaja diputarbelitkan untuk dijadikan isu murahan. Adalah memalukan kalau seorang bertaraf ulamak mujtahid seperti beliau menafikan perundingan atau perbincangan!

Tetapi ada kecenderongan orang tertentu memainkan isu ini, menjadikan modal dalam kempen menjelang muktamar untuk menaik dan menjatuhkan antara satu sama lain. Gambaran telah diberi dan sengaja diperpanjangkan idea rundingan itu sebagai tindakan memusnahkan Pas. Ada orang yang mengetahuinya namun membuat ralat kononnya dia tidak tahu menahu.

Mereka yang menggunakan isu perundingan atau strategi memperkuatkan Pakatan ini ternyata naif dan tidak dapat mencari isu besar untuk dijadikan modal. Mereka ini juga tidak boleh berfikir jauh selain daripada berputar di sekitar kehidupan mereka yang ruang lingkungannya sekitar 40 km sahaja.

Perundingan bukannya satu dosa! Perundingan bukan bermakna automatik bersetuju dengan apa yang dirundingkan. Perundingan adalah perbincangan. Berkira biacara kata orang Kelantan. Bermuzakarah, mencari akal dan kesimpulan. Selalunya mereka yang menganjurkan perundingan adalah mereka yang cerdik dan pintar di mana dalam perundingan itu pastilah ada motif yang baik dan menguntungkannya. Tidak ada sesiapa pun berunding bagi keuntungan sebelah pihak apa lagi merugikan diri sendiri.

Hairan juga bila ada mereka yang senak akal di dalam Pas, menganggap bila Pas bercadang hendak mengadakan perundingan dengan Umno ia dikira sebagai satu tindakan yang haram. Seolah-olah perundingan itu Pas menyerahkan leher untuk dikorbankan UBN. Mereka yang menerima pandangan ini adalah mereka menutup pintu itjihad. Mereka yang tutup pintu itjihad adalah mereka yang menutup pintu ilmu dan iman!

Begitu juga dengan usaha menguatkan Pakatan Rakyat bukan hak sesetengah orang atau kumpulan tertentu. Ia bukan hak Prolib atau kumpulan Ustaz Mat, ia adalah hak dan tanggungjawab kedua-duanya. Tidak ada siapa yang hendak merelaikan Pakatan Rakyat.

Bukankah keadaan hari ini wujud dengan pembangkang memperolehi kemenangan besar kerana kerjasama politik menerusi Pakatan Rakyat? Rasanya pemimpin yang beranggapan ada pemimpin yang tidak mahu menerima hakikat ini lebih bodoh dari pemimpin yang dituduh itu!

Jika hendak mencari titik bengit, mencari salah, Pakatan Rakyat juga boleh dipertikaikan. Pakatan yang Pas jalinkan hari ini adalah dengan sebahagian orang-orang yang dulunya berada dalam BN, yang diragu itu. Pemikiran, perangai dan budaya orang berkenaan masih juga belum berubah. Apakah apabila mereka berada dalam acuan baru mereka akan berubah, tidak hipokrasi?

Apakah kerana dalam Pakatan Rakyat itu ada DAP, menyebabkan sesetengah orang dalam Pas merasakan yakin dengan Pakatan Rakyat, di mana DAP boleh menjadi saksi dan orang tengah jika berlaku apa-apa perbalahan? Nilai dan darjah keimanan DAP dalam konteks Islam samalah juga dengan nilai dan darjah keimanan parti-parti dalam BN.

Tuduhan mengatakan ada golongan dalam Pas menolak Pakatan Rakyat dan satu lagi menolak rundingan bukan isu utama dan perlu diberikan prioriti. Adalah malang kalau Pas melihat dua perkara ini walhal kedua perkara itu adalah perkara yang perlu ditangani oleh Pas secara kolektif.

Kepada calon-calon atau kumpulan yang hendak bertanding dalam Pas cubalah mengemukakan isu atau gagasan lain lebih besar dan konprehensif. Tunjukkan idea dan juga kebolehan untuk membawa perubahan kepada Pas. Membawa kekuatan. Mungkin tidak menjadi masalah kalau Pas ada dua pihak, Prolib atau Ustaz Mat, kerana ia boleh dinilai oleh perwakilan.

Dua puak itu bolehlah diumpamakan wujud dua parti dalam satu parti yang niatnya untuk memperkasakan parti. Macam konservetif dengan demokrat saling berkerjasama untuk negara bukannya untuk kumpulan dan individu. Bila dua puak ini wujud maka syura boleh dilaksanakan. Pemimpin Prolib ambil setengah, kumpulan Ustaz Mat ambil setengah. Dengan cara ini baru Pas mantap dan versatil.

Sudah sampai cara berpolitik diubah menjadi lebih terbuka dan rasional. Isu perundingan (muqabalah) dan memperkuatkan Pakatan Rakyat yang cuba ditimbulkan itu tidak ada kelas langsung dan ianya tak ubah seperti isu 'aku tak suka ayam mu suka ikan' yang layak dimainkan dalam politik kanak-kanak Pasti saja. Demi kelainan carilah isu yang lebih global yang boleh menunjukkan Pas itu sebuah parti progresif dan ahlinya berkualiti tinggi.

No comments: