Sesungguhnya (agama Tauhid) Ini adalah agama kamu semua; agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, Maka sembahlah Aku. ( Al-Anbiyaa': 92)
Dengan ini; Persidangan Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia di Kota Bharu , Kelantan pada 15-16 Syawal 1428/27-28 hb Oktober 2007 yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim dan Sekretariat Kongres Umat Islam Malaysia (SKIMA) dan disertai 500 orang perwakilan dari 78 Pertubuhan-Pertubuhan Islam peringkat Negeri dan Kebangsaan telah bermuafakat bahawa:
Menyedari bahawa seluruh pendokong Pertubuhan-Pertubuhan Islam sebagai golongan yang lebih dipertanggungjawabkan untuk membela agama Allah. Oleh itu sewajarnya kita terus memikul tanggungjawab memandu, memimpin serta membimbing umat agar jelas dengan visi dan misi untuk membangun bersama Islam dan menghayatinya dalam kehidupan yang diredhoi oleh Allah.
Memahami bahawa tugas Pertubuhan-Pertubuhan Islam amat berat terutama dalam keadaan cabaran semakin bertambah. Para aktivis Pertubuhan-Pertubuhan Islam perlu bersedia dan melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan siasah kepimpinan yang diperlukan disamping banyak memahami dan menganalisis permasalahan umat semasa. Pertubuhan-Pertubuhan Islam perlu bijaksana dalam merancang, menjana program tindakan untuk dilaksanakan.
Menginsafi bahawa umat sedang menghadapi berbagai masalah dan cabaran sama ada berbentuk lokal atau global. Sikap ulama dan umat haruslah terus positif bahawa tiada masalah yang tidak dapat ditangani dan diatasi asalkan semangat berjihad dan berkorabn untuk Islam disuburkan . Sikap pertama yang harus dipupuk ialah melihat masalah itu sebagai peluang dan cabaran, bukan penghalang.
Mengingati bahawa dalam Pertubuhan-Pertubuhan Islam masih wujud kelemahan dan kekangan yang perlu diatasi segera, kelemahan tersebut termasuk kekurangan menterjemahkan potensi dan meningkatkan kemahiran beroganisasi, keengganan berjuang dalam wadah Ulama kerana kepentingan masing-masing. Akibatnya berlaku pengabaian usaha membasmi kejahilan umat. Ulama berpecah, umat sengsara dan parah.
Mewaspadai taktik dan rancangan golongan yang memusuhi Islam melalui pelbagai cara sama ada secara terang atau tersembunyi, bersikap lokal, nasional atau global. Maka, para Pertubuhan-Pertubuhan Islam perlu bangkit, bertindak, menyatukan barisan dan menguatkan perpaduan dan intergriti serta berusaha secara jamaĆ¢€™i menghadapi tantangan musuh dengan strategi yang lebih berkesan.
Mengambil perhatian bahawa ukuran kejayaan sesuatu usaha Pertubuhan-Pertubuhan Islam bukan terletak kepada semangat dan laungan semata-mata, bukan hanya menghasilkan resolusi demi resolusi tanpa tindakan yang berkesan. Para aktivis, Pertubuhan-Pertubuhan Islam dan pendokong mereka seharusnya berganjak ke suatu paradigma baru yang menekankan strategi bertindak secara rapi , perlaksanaan secara konsisten , mendepani seteru Islam secara berani dan yakin dan membina barisan amilin secara berterusan.
Meneliti bahawa perkembangan muktakhir umat Islam di rantau Palestin, Iraq dan Afganistan terus bergolak angkara tindakan musuh Islam dan kuasa penjajahan disamping kelemahan dalaman umat. Umat Islam seluruh dunia perlu bertindak membantu dan membebaskan saudaranya yang dizalimi.
Mengingati usaha untuk memperkasakan Ummah perlu komitmen berterusan dan dan meningkat. Para aktivis Pertubuhan-Pertubuhan Islam dan anggota mereka serta Ulama dan Umarak perlu membantu dan bekerjasama dalam bidang yang boleh disepakati dan mengelakkan perselisihan yang merugikan umat.
Menginsafi bahawa usaha untuk mencerdaskan umat perlu bermula dengan pendidikan dari peringkat paling dasar hingga ke tahap yang tertinggi, membangun intelektual, membina budaya ilmu, budaya Iqra dan menghayatinya dalam kehidupan.
Memahami bahawa status umat masa kini dilihat dari perspektif nasional dan global belum menampakkan kesatuan yang kukuh dan mempunyai kekuatan dari segi rohani, spiritual, dan intelektual Maka usaha berterusan perlu digandakan untuk membantu keadaan yang masih gawat.
Menghayati bahawa tugas murni para aktivis dan pendokong Pertubuhan-Pertubuhan Islam sejak dulu, kini dan selamanya sentiasa berusaha mencerdaskan diri dan umat, menambah ilmu, menegak dan menghayati syariah dan akhlak Islami, melaksanakan amanah Allah serta ikhlas membangun umat secara jama'i.
Maka Kami dari Pertubuhan-pertubuhan Islam Beriltizam dan Bermuafakat:
1. Meningkatkan keberkesanan gerakkerja Pertubuhan-Pertubuhan Islam masing-masing demi menyumbang kepada usaha mendaulatkan Islam di negara ini khususnya dan dunia ini amnya.
2.Menggabungkan seluruh kekuatan antara pertubuhan-pertubuhan Islam dalam suatu saf gertakerja yang lebih tersusun dan berkesan untuk mengangkat martabat umat dalam seluruh bidang kehidupan.
3. Menjadikan pertubuhan-pertubuhan Islam sebagai wadah pemersatu ummat dan benteng mempertahankan izzah serta kesucian Islam dari segala ancaman musuh.
4. Mengikis segala sikap dan amalan yang merugikan ummah dalam mendaulatkan Islam dikalangan wadah-wadah Islam samada dalam tindakan individu atau kumpulan. Seluruh anggota aktivis dan kepimpinan organisasi Islam perlu saling menghormati ,mengukuh dan meningkatkan kerjasama yang efektif demi kecemerlangan Islam.
5. Sentiasa berwaspada dalam menghadapi strategi musuh untuk mengadu domba dan melemahkan organisasi Islam. Semua kepimpinan Islam perlu mengukuhkan persepakatan dalam mengenali gerak geri musuh.
6. Membina suatu imej yang sentiasa menjadikan pertubuhan-pertubuhan Islam sebagai pembawa mesej penyayang, penegak keadilan dalam sosial dan hak demokrasi kepada segenap masyarakat sama ada Islam dan bukan Islam.
7. Sentiasa memberi keutamaan kepada pembinaan syaksiah dan nilai hidup muslim yang sejati melalui pendekatan tarbiyah dan dakwah berkesan kearah mewujudkan model-model masyarakat Islam yang dapat dicontohi.
8. Sentiasa menggerakan usaha untuk menjadi pembela kepada hak masyarakat yang tertindas dan terpinggir dari proses pembangunan demi mengembalikan kesejahteraan dan kesaksamaan sosial.
9. Membina jaringan dan penggabungan sumber tenaga dan material untuk membenteras gejala sosial sehingga ke akar umbi.
10. Mengusahakan gerakerja yang dapat memurnikan kepimpinan politik negara melalui pendidikan awam berkaitan prinsip dan kewajipan politik di dalam Islam.
11. Sentiasa bergabung tenaga dalam mengarus perdanakan proses menggangkat kepimpinan ulama dalam proses pembinaan negara.
12. Menggiatkan usaha yang lebih tersusun, terancang dan berkesan dalam mengukuhkan status dan kekuatan ekonomi ummat dalam seluruh bidang termasuk pertanian, perkhidmatan, perindustrian dan pengeluaran demi melahirkan masyarakat Islam yang mandiri.
13. Sentiasa meningkatkan pengembelengan usaha untuk gerak kempen pembasmian rasuah dan penyalahgunaan kuasa dari segenap peringkat.
Allahu Akbar.
Sekian.
Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Islam MALAYSIA
No comments:
Post a Comment