Salmah Mat Husain Wed | Aug 01, 07 | 04:45:07 PM | |
KOTA BHARU, 1 Ogos (Hrkh) – Kerajaan Kelantan sentiasa memberi kerjasama bagi memastikan Wilayah Pembangunan Ekonomi Koridor Timur yang bakal dilaksanakan kerajaan Pusat menjadi kenyataan. Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato’ Husam Musa berkata, dakwaan yang mengatakan kerajaan negeri tidak memberi kerjasama terhadap penubuhan Koridor Timur, disifat tuduhan politik. “Pada masa yang sama kerajaan negeri mengambil sikap mana-mana pembangunan yang memberi faedah kepada rakyat akan diberi perhatian segera termasuk berkaitan sektor pertanian. “Mana-mana program yang dilaksanakan kerajaan Pusat sama ada kecil atau besar, Insya-Allah kerajaan negeri akan bekerjasama, misalnya dari aspek pengambilan tanah akan dibincangkan bersama,” katanya selepas mesyuarat Exco hari ini. Isnin lalu Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan rangka tindakan Wilayah Ekonomi Koridor Utara yang melibatkan anggaran pelaburan sebanyak RM177 bilion. Wilayah itu meliputi Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak. Husam juga berkata, kerjasama dengan pemimpin Kerajaan Pusat khususnya Perdana Menteri dijangka dapat membuahkan hasil yang baik berikutan sikap keterbukaannya. “Cuma yang jadi masalah pemimpin (Umno) di peringkat bawahan (negeri) yang cuba merumitkan keadaan,” katanya. Kata beliau tidak ada sebab kerajaan negeri ingin meminggirkan perbincangan berhubung penubuhan Koridor Timur sekiranya ia untuk kepentingan rakyat. “Bahkan, idea kita turut ditambah bersama untuk memantapkan lagi perancangan koridor berkenaan ketika kerajaan negeri diberi taklimat berhubung perlaksanaannya oleh pihak Petronas. “Kita telah memberikan pandangan balas kita termasuk input-inputnya untuk membolehkan ia dilaksanakan dengan lebih berkesan,” ujarnya. Antara tambahan yang dikemukakan termasuk cadangan mengadakan landasan kereta api laju dari Kota Bharu ke Pulau Pinang bagi memberi sokongan kepada pelabuhan di Pulau Mutiara. Di samping itu dicadang pembinaan pelabuhan di Kota Bharu bagi membolehkan kapal berlabuh untuk menurunkan barangan dari dalam dan luar negara. “Itu adalah antara cadangan balas kita, jadi tidak timbul kita tidak mahu memberi kerjasama dalam menjayakan Koridor Timur,” katanya. Beliau juga berharap koridor berkenaan sama ada utara, timur atau lain-lain dapat direalisasikan sebaik mungkin demi kebaikan rakyat. Menurutnya, pada pandangan umumnya, perancangan tersebut begitu menarik, namun sekiranya tidak diimplimentasikan dengan baik, ia hanya akan menjadi sia-sia. “Kadang-kadang sesuatu benda yang kita garapkan hanya mengikut imiginasi semata-mata. Ia hanya kelihatan cantik sebab pemikiran kita tak ada limit, kita boleh impikan macam-macam. “Begitu juga dalam soal ini, kita kena sepadankan imiginasi dengan tahap kemampuan untuk dilaksanakan agar ia mampu dimanfaatkan untuk masyarakat,” ujarnya. |
Wednesday, August 01, 2007
Koridor Timur: Kerajaan Kelantan sedia berkerjasama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment