Monday, January 29, 2007

Sukarelawan Kelantan terus tabur bakti di Johor

Rizal Tahir
Mon | Jan 29, 07 | 11:15:56 AM


KOTA BHARU, 29 Jan -
‘Cubit paha kiri paha kanan terasa’ mungkin menjadi falsafah kepada rakyat Kelantan apabila mereka merasakan terus terpanggil bagi membantu rakyat Johor yang menderita akibat banjir.

Bukan lagi sekadar wang ringgit yang diberi, malah mereka juga tidak ‘kedekut’ tenaga bagi sama-sama membantu mangsa banjir.

Petang Khamis lalu seramai 200 lagi sukarelawan bertolak ke Johor bagi membantu mangsa banjir. Misi kemanusiaan itu merupakan kali ketiga, kali ini dinaungi di bawah Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan.

Misi tersebut dilengkapi bersama pakaian harian seperti tuala wanita, lampin pakai buang bayi dan ubat-ubatan yang kesemuanya berjumlah RM100,000. Ketua rombongan iaitu Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Zulkifli Mohd Yusof.

Ketika ditemui selepas kembali dari misi tersebut beliau berkata, lampin pakai buang untuk bayi merupakan keperluan utama bagi mangsa-mangsa banjir terutamanya yang berada di tempat-tempat pemindahan.

“Sukarelawan kali ini juga terlibat membantu mencuci rumah mangsa-mangsa banjir di samping membuang sampah sarap. Kita membantu membersih rumah mereka. Mereka cukup terharu menerima bantuan kami,” katanya.

Rombongan itu sebelum ini dilepaskan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di JKR 10. Turut sama dalam rombongan itu badan-badan bukan kerajaan, penghulu wanita, anggota Nisa’ dan Majlis Pengetua Sekolah Agama Yayasan Islam Kelantan.

Ikut sama isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim dan isteri anggota Parlimen Rantau Panjang, Nik Rahimah Hussin.

Sebelum ini kerajaan negeri menyumbang sebanyak RM1 juta bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Johor.

Biar pun dikecam, MB tetap selesaikan masalah rakyat

Rizal Tahir
Mon | Jan 29, 07 | 11:08:05 AM


KOTA BHARU, 29 Jan –
Biar pun terpaksa berdepan dengan tuduhan keras yang dilemparkan sekumpulan penduduk terhadap kerajaan negeri, namun Menteri Besar tetap mempamerkan sikap prihatin dengan menyelesaikan masalah mereka.

Sikap keprihatinan tetap dipamerkan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika penduduk membawa sepanduk bagi mengecam keras kerajaan termasuk menuduh sudah korup dan berlumuran dengan rasuah.

Tududan berupa dakwaan itu terkandung dalam memorandum setebal tujuh muka surat daripada tuan-tuan tanah bagi tapak pembinaan Pasr Borong Bersepadu Wakaf Che Yeh kepada Menteri Besar.

Belum puas hati dengan kecaman keras itu mereka membawa sepanduk yang bertulis macam-macam kata-kata kurang sopan antaranya ‘Rasuah dan Penyelewengan Dalam Kerajaan PAS Kelantan dan MPKB’ dan ‘MPKB Menzalimi dan Menganiayai Tuan-Tuan Tanah’.

Biar pun begitu kerajaan negeri tetap bersikap lembut dengan menyelesaikan segera masalah dihadapi mereka dengan mengarahkan baki pampasan bernilai RM2.3 juta bagi pengambilan tanah untuk tapak pasar borong itu dijelaskan segera.

Sedangkan situasi seperti itu jarang berlaku di negeri-negeri lain. Kebiasaannya keputusan kerajaan tidak memihak kepada penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Haji Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu diambil selepas satu perbincangan dibuat Menteri Besar dengan anggota Exco dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri pagi semalam.

Mesyuarat itu difahamkan diadakan pada hari yang sama berkebetulan ketika demontrasi sekumpulan penduduk dianjurkan.

"Pemilik tanah akan menerima baki 25 peratus yang sebelum ini ditahan kerana permohonan oleh pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) kepada mahkamah agar jumlah pampasan dinilai semula," katanya di sini.

Sebelum itu, kira-kira 30 penduduk mendakwa sebagai pemilik tanah yang sedang dibangunkan untuk membina kompleks pasar borong bersepadu Wakaf Che Yeh berkumpul di hadapan pintu pagar utama Kota Darulnaim.

Mereka juga menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar yang diterima Setiausaha Akhbarnya, Mohd Saiba Yaakob.

Takiyuddin berkata, selepas meneliti memorandum sebelumnya, kerajaan negeri bersetuju memenuhi tuntutan pemilik tanah terbabit atas dasar prihatin terhadap kesukaran mereka.

"Dari segi undang-undang dan peraturan memang kerajaan berhak untuk menunggu keputusan mahkamah berkaitan permohonan yang telah dikemukakan MPKB-BRI, tetapi bagi menzahirkan rasa prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi, kerajaan bersetuju supaya permohonan kepada mahkamah ditarik balik," ujarnya.

Dengan keputusan itu, pemilik tanah akan mendapat baki 25 peratus pampasan masing-masing selepas selesai proses menarik balik permohonan mahkamah oleh MPKB-BRI.

Sebelum ini MPKB BRI membawa kes tersebut ke mahkamah memandangkan berlaku perbezaan nilaian harga tanah dibuat antara Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) yang mentaksirkan sebanyak RM7.039 juta.

Sedangkan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) pula menilai sebanyak RM9.3 juta. Penilaian itu dibuat terhadap tanah seluas 28 lot melibatkan 83 pemilik.

Persoalannya mengapa kedua-dua tafsiran itu berbeza jauh sedangkan agensi berkenaan berada di bawah kerajaan Persekutuan.

Ekoran wujud perbezaan itu MPKB membawa kes itu kepada Mahkamah Tinggi memandangkan penilaian dibuat JKPTG lebih tinggi daripada nilaian asal JPPH.

Malah penduduk sudah mendapat sebanyak RM7.039 juta dan baki yang belum dijelaskan menunggu penyelesaikan dibuat mahkamah terlebih dahulu.

Ekoran keputusan membayar kesemua baki dibuat, usaha pihak tertentu untuk menjadi jaguh dalam isu terbabit tidak kesampaian.

Wednesday, January 17, 2007

Purnama kembali diterbitkan

PAS anggap surat semakan alamat SPR berniat serong

KOTA BHARU, 9 Jan – PAS beranggapan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghantar surat semakan alamat dalam daftar pemilih kepada pengundi yang hanya ditetapkan tempoh 15 hari sebagai tidak sah dan berniat serong.
Naib Presidennya, Dato’ Husam Musa berkata, tempoh diberi untuk membolehkan pemilih menjawab surat dihantar SPR terlalu singkat memandangkan sebahagian mereka kini masih berada di Makkah.
“Ini adalah satu cara yang tidak sah dilakukan SPR memandangkan tidak ada sebarang pemberitahuan secara rasmi dibuat pihak berkenaan melalui media massa bagi memaklumkan perkara itu.
“Lagi pun sesetengah penduduk masih menggunakan alamat surat menyurat di kedai-kedai kopi dan kemungkinan surat SPR itu tidak sampai ke tangan mereka.
“Jadi apabila mereka tidak menjawab sehingga 15 Januari ini kita bimbang nama mereka akan tercicir dari senarai pemilih mengikut alamat asal,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara Tabung Amanah Tok Kenali dengan Takaful Malaysia Bhd di sebuah hotel di sini, hari ini.
Baru-baru ini ramai pemilih di Kelantan menerima surat semakan alamat dalam daftar pemilih daripada SPR. Antaranya anggota Parlimen Rantau Panjang, Haji Abdul Fatah Haron.
Surat diterima Abdul Fatah bertarikh 29 Disember 2006 bertajuk ‘Semakan Alamat Dalam Daftar Pemilih’ dan diberi tempoh sehingga 15 Januari 2007 untuk membolehkan beliau menghantar semula kad jawapan kepada SPR.
Surat SPR itu ditandatangani Timbalan Setiausaha (Operasi), Abdul Hamid Ali. Bersama surat tersebut turut dikepilkan kad jawapan bagi mengesahkan pemilih berkenaan tinggal di alamat sebagaimana terdapat dalam daftar pemilih.
“Saya beranggapan SPR berniat tidak ikhlas dan tindakan itu tidak praktikal memandangkan tiada pengumuman rasmi SPR mengenai proses tersebut dilakukan sekarang. Ini tentunya menggelirukan orang ramai,” kata Husam.
Oleh itu menurutnya, PAS Pusat akan menghantar rombongan bertemu dengan Pengerusi SPR bagi menyatakan bantahan tindakan tersebut dalam masa terdekat ini.
Beliau juga tidak pasti surat semakan daftar pemilih SPR itu turut dihantar ke negeri-negeri lain atau membabitkan penyokong-penyokong Umno.
Abdul Fatah ketika dihubungi berkata, di Rantau Panjang lebih 200 penduduk menerima surat semakan alamat daftar pemilih terutamanya di Repek dan Batu Karang yang terletak di kawasan Dun Bukit Tuku.
Menurutnya yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Kelantan tindakan SPR tersebut adalah jelas berniat serong dan tidak adil terhadap pemilih.
Bagaimanapun beliau bimbang kemungkinan ada pemilih tidak menerima surat yang dihantar SPR bagi mengesahkan alamatnya disebabkan masalah kelewatan pos.
“Ini memperlihatkan agenda SPR yang dilakukan secara senyap dan dibimbangi sekiranya pemilih yang dihantar surat semakan tidak menghantar kad jawapan dalam tempoh ditetapkan, nama mereka tercicir dalam senarai pemilih.
“Lagi pun sekarang masih ramai lagi pemilih yang berada di Makkah kerana menunaikan ibadat haji, dan ramai akan kembali ke tanah air selepas tarikh 15 Januari,” katanya.
Beliau juga telah menghantar kad jawapan bagi mengesahkan alamatnya dalam daftar pemilih kepada SPR pada 5 Januari lalu.
Abdul Fatah juga memberitahu surat semakan alamat yang dihantar SPR kepada pemilih masih lagi diterima orang ramai di Rantau Panjang hari ini, sedangkan tarikh akhir ditetapkan 15 Januari ini.
“Ini jelas menggambarkan sesuatu yang tidak adil berlaku dan tidak dapat ditolak kemungkinan ada agenda tersembunyi dilakukan SPR,” ujarnya.

Friday, January 05, 2007

Rampas Harakah bukan kerana foto Michelle Yeoh

04-01-2007 06:15:48 PM

PETALING JAYA: Kementerian Keselamatan Dalam Negeri menafikan operasi merampas tabloid Harakah berpunca sekeping foto aktres terkenal Datuk Michelle Yeoh bersama Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, lapor agensi berita AP hari ini.Menurut jurucakap kementerian itu Zailani Hashim, rampasan beberapa hari lalu di beberapa lokasi seperti dilaporkan kerana ia dijual secara terbuka, bukan di bilik-bilik gerakan PAS seperti disyaratkan.

"Tindakan ini tidak kena-mengena dengan imej yang disiarkan," beliau dipetik sebagai berkata, sambil menolak tanggapan editor akhbar milik PAS itu yang mendakwa rampasan itu disebabkan usaha menghalang orang ramai melihat foto tersebut.

Foto itu, yang juga tersebar luas di Internet khususnya di kalangan penyokong PAS, menunjukkan Abdullah memegang bahu aktres filem Crouching Tiger, Hidden Dragon sewaktu majlis makan malam bersempena Piala Monson di Terengganu bulan lepas.

Yeoh, anak kelahiran Ipoh, juga membintangi filem James Bond, Tomorrow Never Dies.

Tidak sampai 100 naskhah Harakah dirampas di Kuala Lumpur, tambah Zailani.

Dr Mahathir mohon batalkan saman Anwar

05-01-2007 06:57:20 PM

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menghadapi saman malu oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menuduh bekas timbalannya itu sebagai seorang homoseksual, mengemukakan permohonan hari ini untuk membatalkan saman itu dengan alasan ia bersifat skandal, menyusahkan dan tidak bersungguh.

Permohonan itu difail di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di Wisma Denmark di sini menerusi syarikat guaman, Messrs V. K. Lingam & Co.

Dalam permohonan itu, Dr Mahathir, 81, berkata saman Anwar terhadap beliau harus ditolak kerana ia tidak menyatakan sebarang sebab munasabah untuk bertindak terhadap beliau selaras dengan Perintah 18 Peraturan 19 (1)(a) dan/atau Perintah 92 Peraturan 4, Peraturan-peraturan Mahkamah Tinggi 1980.

Dr Mahathir turut mengemukakan afidavit bagi menyokong permohonannya itu.

Menurut afidavit itu, pensabitan Anwar terhadap kesalahan meliwat Azizan Abu Bakar, yang walaupun dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan tarikh kejadian berlaku dalam pertuduhan dan kerana perkara lain yang bukannya substantif, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan bahawa terdapat keterangan bagi mengesahkan bahawa Anwar dan Sukma Darmawan Saasmitaat Madja terlibat bersama dalam aktiviti homoseksual.

Dr Mahathir berkata saman malu Anwar terhadap beliau juga merupakan penyalahgunaan proses kerana ia satu cubaan Anwar untuk mengulangi tindakan mahkamah dalam isu yang sama seperti yang terdapat dalam dakwaan berhubung saman malu oleh Anwar terhadap beliau di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1999.

Saman itu ditolak oleh hakim Datuk R. K. Nathan pada 30 Ogos 1999, dan keputusan itu dipersetujui oleh Mahkamah Rayuan pada 9 Dis 2000. Permohonan Anwar untuk merayu ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Feb 2001.

Pada 27 Jan 2006, Anwar memfailkan saman itu menerusi syarikat guaman Messrs S. N. Nair & Partners dengan mendakwa kenyataan Dr Mahathir bersifat fitnah.

Dalam kenyataan tuntutannya, Anwar berkata Dr Mahathir sedar kenyataannya itu bertujuan menghina beliau secara peribadi dan sebagai bekas menteri dan bekas timbalan perdana menteri, yang akan disiarkan oleh media tempatan dan asing.

Selain menuntut ganti rugi am dan ganti rugi teladan, Anwar juga memohon perintah menghalang Dr Mahathir atau ejennya daripada terus mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Saman itu dijadual dibawa bagi pengurusan kes di Mahkamah Tinggi pada 9 Jan.

Dalam kenyataan pembelaannya, Dr Mahathir berkata beliau membuat kenyataan sedemikian berdasarkan keistimewaan sebagai seorang perdana menteri.

Katanya kenyataan itu dibuat demi kepentingan awam dan selaras dengan tugas moralnya untuk memberitahu rakyat mengenai salah laku Anwar. BERNAMA

Batu Talam: PAS belum pasti, Umno susun jentera

05-01-2007 03:46:45 PM

MARANG: Keputusan sama ada PAS akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam, Pahang, akan diketahui Isnin ini kerana ada cadangan supaya parti itu memulaukan sahaja pilihan raya berkenaan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata mesyuarat Jawatankuasa Pusat akan dilangsungkan di Kuala Lumpur pada tarikh itu bagi mendapatkan laporan daripada Badan Perhubungan PAS Pahang, selain mendengar pandangan daripada anggota jawatankuasa PAS Pusat mengenai pilihan raya kecil itu.

"Keputusan muktamad (sama ada bertanding pada pilihan raya kecil Batu Talam atau sebaliknya) akan diputuskan Isnin ini. Bergantung kepada laporan daripada PAS Pahang kerana mereka dan pemimpin PAS di Batu Talamlah yang akan bekerja.

"(Bagaimanapun) pada dasarnya, bagi menghidupkan demokrasi, insya allah PAS akan terus menyertai pilihan raya kecil DUN Batu Talam," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Rusila dekat sini hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 Jan ini sebagai hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Batu Talam dan pengundian akan berlangsung pada 28 Januari sekiranya terdapat pertandingan.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Tengku Paris Tengku Razlan daripada Barisan Nasional (BN) pada 27 Dis lepas kerana barah paruparu dan usus.

Pada pilihan raya umum 2004, Tengku Paris menang dengan majoriti 2,761 undi. Beliau mememperoleh 5,414 undi, menewaskan calon PAS, Dr Mohamed Nilam Abdul Manap yang meraih 2,653.

Abdul Hadi membayangkan bahawa sekiranya parti itu bertanding pada pilihan raya tersebut, peluang PAS untuk menang adalah sukar kerana Umno dan BN sudah tentu akan menggunakan seluruh jentera kerajaan.

Beliau berkata berdasarkan pengalaman lepas terutama dalam menghadapi pilihan raya kecil, BN akan menggunakan seluruh jentera dan petugas kerajaan termasuk media, untuk membantu mereka mencapai kemenangan di sesuatu kawasan itu.

"Namun demikian, tidak mustahil kita akan menang tetapi ia bukannya mudah. (Bagaimanapun) sekurang-kurangnya kita dapat menggembleng jentera pilihan raya PAS di semua peringkat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Abdul Hadi turut membayangkan bahawa jika PAS bertanding, calon parti itu merupakan pemimpin tempatan berpengaruh di kawasan itu yang boleh membela nasib rakyat.

"Bagaimanapun, senarai akhir calon bergantung kepada laporan PAS Pahang. Mungkin juga kita letakkan calon dari luar," katanya, dengan menambah jumlah majoriti yang diperoleh calon BN di kawasan itu pada pilihan raya umum lepas bukannya besar.

Sementara itu di RAUB, Umno bahagian itu telah menggerakkan jentera pilihan rayanya sebagai persiapan awal menghadapi pilihan raya kecil kerusi Batu Talam pada 28 Jan ini.

Ketua Umno Bahagian Raub Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata antara persediaan awal itu ialah penubuhan beberapa jawatankuasa seperti penamaan calon, penerangan, peti undi, pengangkutan, keselamatan, gerak gempur dan tugas khas.

"Kita telah mengarahkan semua cawangan Umno di DUN Batu Talam supaya membuat persediaan awal dan membuka bilik gerakan masing-masing," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, persedian awal itu perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang pertindihan tugas dan masalah di samping memantapkan jentera pilihan raya tersebut.

Shahiruddin berkata kesemua 12,000 anggota daripada 70 cawangan Umno bahgaian Raub diminta bersama-sama membantu bagi meraih kemenangan calon Barisan Nasional pada pilihan raya itu nanti.

"Kita tidak memandang mudah pilihan raya kecil ini walaupun DUN Batu Talam ini adalah kubu kuat BN sejak merdeka lagi. Kita akan bekerja keras bagi memastikan kerusi DUN ini akan terus menjadi milik BN kali ini," katanya.

Sementara itu, penduduk DUN Batu Talam mahu BN memilih anak tempatan sebagai calon pilihan raya itu nanti kerana hanya anak tempatan sahaja yang mengetahui dan memahami masalah penduduk setempat.

Anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Cheruh, Lim Ah Heng, 54, berkata tidak dinafikan orang luar boleh dipilih sebagai calon, namun jika anak tempatan dipilih, penduduk dapat berjumpa dengannya setiap masa.

"Bekas wakil rakyat iaitu Datuk Tengku Paris Tengku Razlan merupakan anak tempatan yang banyak membantu penduduk menyelesaikan masalah terutama berkaitan tanah, masalah persekolahan anak-anak dan pembangunan, tanpa mengira kaum," katanya.

Yunus Lebai Man, 64, pula berharap bakal calon yang dikemukakan BN mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Kalau boleh biarlah anak tempatan yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat kerana sebahagian besar penduduk di sini terdiri daripada petani yang banyak bergantung hidup kepada tanah," katanya. BERNAMA